Young Syefura Buat Laporan Polis Kes Penipuan & Gangguan Seksual

- Advertisement -

KUANTAN: Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam, masing-masing berhubung kes penipuan dan gangguan seksual oleh seorang pempengaruh media sosial terhadapnya.

Young Syefura berkata laporan pertama yang dibuat menerusi pegawai khasnya melibatkan kes penipuan bahawa terdapat individu telah menghantar mesej melalui aplikasi Instagram mengaku bahawa dirinya ialah wakil kepada beliau untuk penganjuran program menjana pendapatan.

Beliau berkata laporan kedua pula adalah terhadap pempengaruh yang telah mengeluarkan kenyataan seksis dan berunsur lucah yang dianggapnya sebagai gangguan seksual dalam satu video yang dimuat naik ke akaun TikTok dan Instagram.

“Video itu kemudian tular dan telah dikongsi oleh banyak pihak lain. Dalam video yang dimuat naik oleh pempengaruh tersebut, beliau telah menyebut beberapa perkataan lucah berserta lenggok bahasa badan beliau yang telah menyebabkan saya tidak selesa.

“Saya terbuka jika ada yang mempertikaikan pandangan dan ideologi politik saya. Setiap daripada kita berhak mempunyai pandangan masing-masing, namun apa yang telah dilakukan oleh pempengaruh ini ialah satu serangan peribadi dan menjejaskan reputasi dan kehormatan saya sebagai seorang wanita serta Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tujuannya membuat laporan berkenaan adalah untuk memberikan pengajaran kepada semua pelaku jenayah gangguan seksual selain ia juga bagi menggalakkan mangsa jenayah gangguan seksual lain untuk berani tampil ke hadapan, tidak kira lelaki atau wanita.

“Saya menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan ke atas kedua-dua kes ini dan saya berharap tindakan tegas akan diambil terhadap semua penjenayah kes scammer dan gangguan seksual di dalam negara ini,” katanya.– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat