Ketengah Sedia Peruntukan Hampir RM600,000 Bantu Pelajar Kurang Kemampuan – Ahmad Said

- Advertisement -

KEMAMAN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menerusi Yayasan Ketengah memperuntukkan hampir RM600,000 bagi program Bantuan Pendidikan Pelajar Sekolah (BPPS) Wilayah Ketengah 2023 untuk membantu pelajar kurang berkemampuan di wilayah tersebut pada tahun ini.

Pengerusi Ketengah, Datuk Seri Ahmad Said, berkata, sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM150 untuk setiap pelajar diagihkan kepada 3,929 pelajar daripada 62 buah sekolah rendah dan menengah di tiga daerah iaitu Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.

Menurutnya, program pembangunan sosial tersebut bertujuan meringankan beban keluarga yang memerlukan bagi menguruskan persekolahan anak-anak.

“Ketengah komited bagi memastikan tiada anak Ketengah yang tercicir daripada menerima pelajaran dan kita berusaha membantu pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan tersenarai dalam Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Agihan BPPS di Felda Neram 2, di sini, hari ini.

Ahmad berkata, setakat ini, seramai 2,562 orang pelajar iaitu masing-masing seramai 614 pelajar di Hulu Terengganu dan 1,948 orang di Kemaman telah menerima bantuan tersebut pada Ahad dan hari ini.

Sementara itu, seramai 1,367 pelajar di daerah Dungun akan menerima bantuan itu pada Khamis ini.

Salah seorang pelajar tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh Baru, Muhammad Razin Haziq Mahamed Rasidi, 19, berkata, sumbangan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membiayai pembelajaran sekolahnya.

“Saya anak yatim dan bongsu daripada tujuh adik beradik. Memang saya sangat hargai bantuan sebegini sekurang-kurangnya dapat saya gunakan untuk persediaan pembelajaran dan peperiksaan. Sekarang ini, saya hanya bergantung kepada wang yang diberikan abang sebab mak dah tak bekerja,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat