Cendekiawan Wajar Bantu Kerajaan Tangani Cabaran Ekonomi – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Ada baiknya para Naib Canselor dan lembaga universiti di institusi pengajian awam dan swasta memberikan perhatian dan keutamaan dalam membantu kerajaan mendepani ekonomi yang mencabar,” cadang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tegas Presiden UMNO itu, hasil penyelidikan yang baik tidak seharusnya berada di rak perpustakaan sahaja, atau dibaca oleh audiens jurnal yang sangat kecil pembaca, akan tetapi perlu dikongsi, dipraktis dan disebarkan kepada masyarakat awam.

Kata Zahid, inilah dikenali sebagai advokasi awam apabila hasil ilmu disebarkan serta dikongsikan dan boleh memanfaatkan masyarakat awam.

“Ketika negara berdepan dengan krisis ekonomi, masalah inflasi, isu harga ayam, pemulihan ekonomi maka sudah tiba masanya cendekiawan negara, ahli ekonomi dan ahli akademik negara turut menyumbang untuk membantu kerajaan mengemukakan penyelesaian.

“Golongan cendekiawan ini merupakan golongan bijak pandai dan terdidik dalam ilmu mereka masing-masing. Sebahagian besar mereka memperoleh PhD mereka di luar negara dan dibiayai oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Zahid, kesemua ini adalah pencapaian Barisan Nasional (BN) yang memberikan komitmen penubuhan lebih 20 IPTA dan IPTS negara.

“Sekarang ini terdapat pelbagai akademi atau pertubuhan seperti Majlis Profesor Negara (MPN), Akademi Profesor Malaysia, dan pelbagai pertubuhan akademik.
Terdapat pelbagai pakar misalnya ekonomi pertanian, ekonomi pembangunan dan sebagainya.

“Sudah tiba masanya pelbagai pertubuhan ini bergabung tenaga menyumbangkan tenaga fokus untuk menyumbangkan kepakaran mereka membantu memberikan strategi menangani isu ekonomi negara.

“Malah golongan cendikiawan yang tak menyertai mana-mana pertubuhan tersebut perlu juga dilibatkan atas nama kepentingan negara,” syor beliau.