100 Hari Wisma Putra Corak Halatuju Diplomasi Negara

- Advertisement -

OLEH: DR. ACHMAD DZARIEAN MOHD NADZRI, PhD

MENGURUS sebuah kementerian yang penting sebagai mewakili “suara negara” di peringkat antarabangsa dalam sebuah sistem pentadbiran bukanlah merupakan satu perkara yang boleh dipandang enteng dan dianggap mudah.

Mempertahankan kepentingan negara dan rakyat serta dalam masa yang sama membawa “suara” dan pendirian negara dilihat menjadi agenda utama pasukan Hishamuddin Tun Husein sejak mula dipertanggungjawabkan untuk menggalas jawatan Menteri Luar sejak 8 Mac 2020.

Dalam berhadapan dengan cabaran pandemik Covid 19 yang menular di seluruh dunia, Dato Sri Hishamuddin Tun Hussein dilihat sebagai aktor utama yang telah berjaya meletakkan kembali prestij dan kredibiliti Wisma Putra.

Dengan memberikan penekanan terhadap mengeratkan semula hubungan dua hala dengan negara-negara kuasa besar seperti China, India, Arab Saudi dan UAE adalah merupakan keutamaan yang telah menjadi prioriti hala tuju dasar luar Malaysia.

Impak atau refleksi daripada mengeratkan semula hubungan dua hala dengan negara-negara kuasa besar ini sudah pastilah datang dalam pelbagai bentuk.

Sumbangan peralatan perubatan kerajaan China kepada Malaysia dalam kuantiti yang amat besar umpamanya adalah merupakan satu contoh impak atau kesan yang boleh dilihat sendiri apabila hubungan erat yang telah berjaya dikembalikan.

Tidak cukup dengan itu, tindakan kerajaan China juga yang telah menghantar pasukan perubatan ke Malaysia sebagai salah satu usaha menangani pandemik Covid 19 di negara ini juga turut menjadi bukti bahawa hubungan erat yang telah dijalinkan semula ini menampakkan hasilnya.

Selain dari itu juga, kesudian kerajaan India yang telah membeli semula minyak saeit Malaysia adalah merupakan impak positif hasil daripada keakraban yang telah ditunjukkan melalui “tindakan bijak” pasukan Hishamuddin dalam menjalinkan diplomasi negara.

Kerjasama India yang telah ditunjukkan dalam bertindak menjadi pemudahcara kepada urusan penghantaran pulang warga Malaysia yang terkandas di negara itu juga menunjukkan bahawa tidak ada ruginya keakraban hubungan yang dijalinkan oleh kedua-dua negara.

Seperti insiatif yang telah ditunjukkan oleh kerajaan China dan India dalam memperlihatkan keakraban hubungan masing-masing dengan Malaysia, kerajaan Arab Saudi juga turut membuktikannya dengan sumbangan 7 juta peralatan perubatan kepada Malaysia sebagai satu langkah menangani pandemik Covid19 di negara ini.

Hubungan akrab Malaysia dengan negara-negara serantau seperti ASEAN juga turut mendapat keutamaan dan prioriti oleh “Pasukan Hishamuddin” apabila Malaysia turut menekankan kepada elemen kerjasama jitu yang telah ditunjukkan melalui platform kerjasama serantau seperti ASEAN+3.

Pelan Pemulihan Bersepadu ASEAN+3 yang telah dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan memberikan penekanan kepada pemulihan ekonomi, kewangan, jaringan keselamatan sosial, jaminan makanan dan pendidikan.

Ini adalah merupakan satu inisiatif yang baik ke arah memupuk semangat kerjasama antara negara anggota ASEAN+3 yang sudah pastinya akan bergantung kepada perancangan yang akan direncanakan oleh Wisma Putra serta kordinasi bersama dengan kementerian-kementerian lain pada masa akan datang.

Tidak hanya melalui ASEAN, keanggotaan Malaysia yang berada didalam platform pertubuhan antarabangsa seperti NAM turut dijadikan asas kepada tindakan Malaysia yang menyeru kepada cadangan untuk menubuhkan Petugas Khas NAM dalam usaha menangani pandemik Covid19.

Usaha Malaysia yang menyeru kepada penglibatan negara anggota NAM dalam menunjukkan solidariti negara anggota pertubuhan ini dalam menangani pandemik Covid19 wajar diberikan perhatian kerana hanya melalui kerjasama erat dan semangat solidariti yang ditunjukkan oleh negara anggota NAM ianya adalah diharapkan agar dapat segera menangani kesan negatif pandemik ini di seluruh dunia.

Apabila pasukan Hishamuddin yang telah diterajui oleh beliau sendiri yang dilihat bekerja keras dalam mengurus hal diplomasi negara, ianya telah banyak memudahkan tugasan membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di serata dunia apabila pandemik Covid19 melanda.

Jumlah rakyat yang telah dibawa pulang iaitu sebanyak 20,220 orang dari 73 buah negara bukanlah satu angka yang kecil dan dianggap mudah tetapi ini adalah satu usaha yang membanggakan kerana ia bukan sahaja mencerminkan keprihatinan negara terhadap warganya malah ianya juga boleh ditafsirkan sebagai usaha unggul negara dalam melindungi kesejahteraan rakyatnya tidak kira dimana berada.

Kesimpulannya, segala tindakan dan perancangan yang telah direncanakan oleh pasukan Hishamuddin dan Wisma Putra kini telah menampakkan kejayaan dan hasilnya dimana Malaysia kini sudah berada di mata dunia dari segi kedudukan diplomatiknya. Tahniah Dato Sri Hishamuddin Tun Hussein dan Wisma Putra.

*Penulis adalah Felo Bersekutu, Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD, PUSAT PENGAJIAN ANTARABANGSA, UUM SINTOK, KEDAH)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat