Sebaiknya tunggulah Parlimen bubar, kasihan rakyat – Azalina

KUALA LUMPUR – Mana-mana Ahli Parlimen tidak sewajarnya mengambil jalan mudah dengan sewenang-wenangnya mengosongkan kerusi disandang mereka ketika tempoh penggal masih belum berakhir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, biarpun itu hak demokrasi bagi mana-mana wakil rakyat dipilih, namun setiap mereka bertanggungjawab ke atas rakyat di kawasan masing-masing, terutama untuk membawa dan mewakili suara pengundi di Dewan Rakyat.

“Kasihanlah pada rakyat, pengundi di (Parlimen) Pandan. Sebab pada saya, mereka (rakyat) mengharapkan wakil rakyat itu ada. Paling tidak pun bolehlah dia (rakyat) nak ketuk pintu kalau tak puas hati ke, tak dapat bantuan ke.

“Tapi mungkin dia (Ahli Parlimen itu) ada sebab-sebab tertentu. Tapi saya harap dalam parti BN (Barisan Nasional), sesiapa yang ada niat yang sama, bagi selesaikan khidmat kepada rakyat dululah.

“Maknanya selagi Parlimen tak dibubar, dalam tahun perkhidmatan itu, lima tahun, selesaikanlah. Lepas itu kalau mahu bertanding, masuk parti lain ke, terpulanglah,” katanya ditemui media pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono 2026 oleh Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Auditorium AIAC lapor BH pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang bertindak mengosongkan kerusi Parlimen disandang masing-masing, yang disifatkan seolah-olah membelakangkan semangat undang-undang lompat parti yang sedang berkuat kuasa ketika ini.

Dalam pada itu, Azalina berkata pandangan pengundi di kawasan masing-masing perlu diambil kira sebelum sesuatu keputusan itu dibuat.

“Ahli politik, Ahli Parlimen, dia boleh ikut budi bicara dia sendiri, tindakan dia sendiri. Tapi yang penting rakyat yang mengundi. Rakyat macam saya di (Parlimen) Pengerang, mungkin mereka mahukan wakil rakyat habiskan tempoh (penggal).

“Tapi mungkin sebagai pemimpin, mereka ada pandangan mereka sendiri. Saya nak komen-komen lebih pun tak boleh. Tapi kadang takut rakyat marah dengan mereka sudah penat-penat pergi mengundi,” katanya.

Rafizi dan Nik Nazmi hari ini dilapor sudah menghantar notis pemakluman bagi pengosongan kerusi Parlimen masing-masing kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Penggal Parlimen ke-15 ketika ini masih berbaki kira-kira 18 bulan sebelum ia terbubar secara automatik.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat