KUALA LUMPUR – Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru komponen Pakatan Harapan (PH) supaya terus teguh bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim demi masa depan Malaysia yang lebih baik dan kuat.
Tegas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, dalam dunia yang penuh cabaran hari ini, Malaysia memerlukan kepimpinan yang tenang, stabil dan jelas hala tujunya.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan beliau mampu mentadbir negara dengan baik demi kestabilan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam ucapan di Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Mat Sabu menegaskan bahawa perjuangan ini belum selesai dan negara masih memerlukan kepimpinan Anwar untuk terus mentadbir sehingga akhir penggal dan seterusnya diberi mandat sekali lagi selepas PRU-16.
“Alhamdulillah, hampir 10 ribu hadir hari ini dengan semangat yang cukup luar biasa. Kehadiran rakyat dari pelbagai latar belakang membuktikan bahawa harapan terhadap masa depan negara masih kuat dan hidup dalam jiwa rakyat Malaysia.
“Bang Mat percaya rakyat hari ini mampu menilai sendiri bagaimana Perdana Menteri mentadbir negara tanpa diskriminasi.
“Bantuan dan pembangunan tidak memilih kaum, negeri atau fahaman politik.
“Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kerajaan memilih untuk bercakap benar dan berterus terang dengan rakyat, bukan menyembunyikan masalah atau menabur janji kosong.
“Bagi Bang Mat, politik bukan sekadar soal kuasa, tetapi tentang amanah untuk membela rakyat dan membina negara yang lebih baik.
“Sebab itu Amanah akan terus istiqamah mengangkat perjuangan Islam Rahmatan Lil Alamin, membawa mesej keadilan, perpaduan, kasih sayang dan keharmonian untuk semua.
“Terima kasih kepada semua yang hadir dan terus bersama dalam perjuangan ini. Kita terus melangkah dengan semangat, keyakinan dan harapan untuk Malaysia yang lebih baik,” katanya.



