Bersatu Ajak PAS Kerjasama Dengan PH Tapi PAS Tak Mahu

KUALA LUMPUR – PAS menolak cadangan Bersatu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH),” kata Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu memberitahu Suara.TV susulan penolakan itu PAS mempunyai alternatif politik lain yakni bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

“Saya difahamkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa PAS telah menolak cadangan Bersatu untuk bekerjasama dengan PH.

“Maka pilihan untuk memperkasakan MN adalah antara pilihan terbaik,” kata Khairuddin melalui pesanan WhatsApp pada Rabu.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu juga menegaskan pemerkasaan MN adalah sangat penting untuk perpaduan di kalangan orang Islam khususnya di Pantai Timur.

Pun begitu, Khairuddin memaklumkan bahawa pandangan yang disampai beliau ini berdasarkan maklumat yang diberitahu oleh Takiyuddin.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khiruddin menyangkal dakwaan kononnya parti Islam itu kini sedang bergelut untuk membuat pilihan sama ada bersama Perikatan Nasional (PN) atau bersama UMNO dalam MN.

“Dakwaan itu tidak benar,” katanya ringkas.

Difahamkan PAS dilihat bergelut antara terus kekal bersama PN yang sudah didaftarkan atau mahu mendengar suara minoriti agar kembali bertaut dalam MN.