KOTA BHARU, — Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan program pembasmian kemiskinan di negeri Kelantan, dalam usaha memperkukuh agenda kebajikan rakyat.
Menurut beliau, peruntukan tersebut akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri Negeri Kelantan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan serta manfaatnya sampai kepada golongan sasar.
Terdahulu, ketika lawatan ke Pasir Puteh, Anwar berkesempatan menunaikan solat Zuhur berjemaah bersama penduduk setempat serta beramah mesra dengan masyarakat, sambil menekankan peranan institusi masjid sebagai nadi penyatuan ummah.
“Agenda kebajikan rakyat mesti terus dijunjung dan disegerakan, khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan yang masih membelenggu sebahagian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan bantuan sebanyak RM500,000 bagi membantu membaik pulih prasarana Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Kampung Kolam, Bachok yang terjejas akibat insiden kebakaran baru-baru ini.
Anwar menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited untuk terus membantu Kelantan dari segenap aspek, demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara serta pembangunan dapat dinikmati secara inklusif.
“Insya-Allah, usaha ini akan diteruskan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya lagi.



