KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah musuh utama di Pahang bukan sekadar dadah dan penjenayah tetapi pencerobohan tanah haram di negeri itu.
Titah baginda, sebanyak 14,494.908 hektar tanah kerajaan diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
“Lebih malang, 5,997.09 hektar hutan simpanan kekal (HSK) juga telah diceroboh kononnya atas nama pertanian tetapi hakikatnya perompakan terbuka terhadap harta negeri.
“Masalah ini bukan baru bermula semalam, ia telah berakar sejak lebih empat dekad yang lalu dan ia berlaku tanpa pengetahuan beta. Namun, bukan niat beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan. Kita tidak mahu terus dibelenggu oleh bayang-bayang masa silam.
“Sebaliknya, kita berhasrat untuk menoktahkan kemelut pencerobohan tanah secara haram ini. Biarlah kisah lalu itu menjadi pengajaran. Jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa atau pengkhianatan terhadap amanah, biarlah Allah SWT yang maha adil, menentukan dan menjatuhkan hukumnya,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, lapor BH di Kuantan pada Jumaat.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Al-Sultan Abdullah bertitah, menjadi hasrat dan pendirian bersama sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kerajaan negeri untuk membuka lembaran baharu dengan pendekatan yang lebih mampan, adil dan menyeluruh.
Titah baginda, pendekatan yang tidak sekadar menghukum tetapi juga membina yang tidak hanya menamatkan pencerobohan tetapi memulihkan semula maruah undang-undang serta menjana hasil kepada tanah negeri.
“Beta amat berbangga dan menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan negeri bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang mula mengambil tindakan tegas di lapangan termasuk membuat tangkapan, memotong pokok-pokok yang ditanam secara haram dan juga menutup lombong yang dibuka tanpa rasa malu dan takut.
“Seiring dengan keputusan kerajaan negeri juga, beta ingin menegaskan bahawa tidak akan ada sebarang kelulusan baharu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah menegaskan perkara itu adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjaga amanah kepada negeri dan rakyat.
“Tambahan pula keadaan hari ini sangat membimbangkan apabila ada yang sengaja meniupkan api sentimen demi meraih simpati, seolah-olah pencerobohan ini satu bentuk perjuangan.
“Beta ingin mengingatkan perjuangan yang bersandarkan kezaliman terhadap tanah hak milik negeri tidak akan pernah sesekali mendapat restu beta.
“Apa yang lebih mendukacitakan terdapat segelintir pihak, termasuk individu yang seharusnya menjadi contoh dan pembela kepada undang-undang, sebaliknya memilih untuk menyokong perbuatan tidak bertamadun, cukup memalukan.
“Tindakan sedemikian bukan saja mencemarkan imej institusi, bahkan boleh menjejaskan kedaulatan pentadbiran negeri,” titahnya.
Baginda turut mengingatkan supaya pemimpin politik tidak terpengaruh dengan kepentingan politik sempit hingga mengetepikan hukum dan perbuatan yang salah dimuliakan.
“Beta ingin menegaskan pentadbir tanah di semua peringkat, wajib menjadi benteng hadapan, bukan boneka yang diperalatkan.
“Jangan sekali-kali berkompromi dalam hal yang membabitkan kedaulatan undang-undang negeri. Jangan terpedaya dengan naratif, kononnya pencerobohan itu atas nama kebajikan atau perjuangan rakyat.
“Undang-undang tidak boleh dipilih-pilih untuk dikecualikan mengikut siapa yang bercakap paling lantang atau siapa yang berani menekan atau yang paling banyak menghulur,” titah baginda.