“Orang Melayu tak ada duit beli barang China”- bekas hos Foxs News

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas hos Foxs News Bill O’Reilly menghina dan memperlekeh­kan orang Melayu apabila mengatakan mereka tidak ada duit untuk membeli barang dari China.

O’Reilly yang kini adalah pengulas politik konservatif AS, mengeluarkan kenyataan itu dalam usaha memperlekeh lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, Vietnam dan Kemboja.

Dalam hantaran di X, dia mengatakan penduduk di negara-negara yang di lawati oleh Jinping itu termasuk menyebut ‘Melayu’ sebagai tidak ada wang untuk membantu China yang kini dikenakan tarif lebih 200 peratus oleh AS.

“Hai Presiden Xi Jinping, biar saya berterus terang. Mereka tiada duit langsung. Mereka tidak boleh tolong kamu, mereka tidak akan beli barang kamu sebab mereka tidak ada duit,” kata O’Reilly.

Dia turut memperlekehkan lawatan yang bertujuan mengukuhkan hubu­ngan serantau itu dengan mengatakan Jinping ke negara-negara terbabit dengan tujuan untuk menyeludup barang.

“Mungkin dia pergi ke sana untuk cuba seludup barang China bawah label Vietnam. Tapi itu akan mudah terbongkar.

“Kamu tahu… China kehilangan pasaran AS, tetapi saya percaya ia masih boleh dibaiki. Tapi kini (ekoran lawatan Jinping ke Asia Tenggara) ia sudah rosak. Ia betul-betul kacau.

“Sebab kami ada duit, kami beli barang. ‘Orang Melayu’ tidak akan beli barang anda, mereka tiada duit,” katanya.

Presiden China itu memulakan lawatan kerja rasmi ke Malaysia pada Selasa atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Ini lawatan kedua Jinping ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kali terakhir pada 2013 yang menyaksikan hubungan diplomatik kedua-dua negara ditingkatkan kepada perkongsian strategik menyeluruh.

Jinping telah diberikan sambutan negara diikuti dengan majlis menghadap dan jamuan negara bersama Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Dalam pertemuan dua hala di Kompleks Seri Perdana pada hari sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jinping membincangkan pelbagai cara untuk memperkukuh kerjasama dua hala di samping bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran 31 Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian dan nota antara Malaysia dan China. Lawatan Pre­siden China itu mendapat perhatian khusus daripada pihak AS termasuk Presiden Donald Trump yang turut mengulas mengenainya.

Berdasarkan Jabatan Perang­kaan Malaysia (DOSM), orang Melayu dan Bumiputera kini berjumlah 21.7 juta atau 64 pe­ratus keseluruhan penduduk di negara ini.

Jumlah simpanan orang Melayu da­lam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM363.85 bilion; di Amanah Saham Bumiputera (ASB) hampir RM173.8 bilion dan Tabung Haji (TH) mence­cah RM91.7 bilion.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abd. Halim Hu­sin berkata, kenyataan dangkal de­ngan ber­unsur stereotaip kolonial O’Reilly itu ti­dak mencerminkan realiti ekonomi se­­masa.

Katanya, pengkritik tersebut perlu memahami bahawa kaum bumiputera yang me­rangkumi lebih 60 peratus penduduk negara merupakan kumpulan pengguna terbesar dan penyumbang utama kepada ekonomi domestik.

“Kajian perbelanjaan isi rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa perbelanjaan isi rumah bumiputera terus meningkat saban tahun, mencerminkan peningkatan pendapatan, pendidikan dan aspirasi hidup mereka.

“Perbelanjaan tinggi dalam sektor seperti makanan dan minuman, barangan pengguna, pelancongan domestik, pendidikan dan perumahan membuktikan bahawa orang Melayu bukan sahaja mampu berbelanja, malah memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi negara.

“Sektor peruncitan, perkhidmatan dan e-dagang juga semakin bergantung kepada permintaan daripada golongan Bumiputera,” lapor Utusan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat