CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju untuk mengkaji semula kriteria dan syarat program Malaysia Rumah Keduaku atau Malaysia My Second Home (MM2H) supaya lebih berdaya saing.
Ia berdasarkan perbincangan secara bersama oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Haji Ruji Ubi semalam di Putrajaya.
“Melalui perbincangan tersebut, kedua-dua pihak turut bersetuju bahawa agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) iaitu Tourism Malaysia akan mempromosi dan mengesyorkan permohonan selepas proses tapisan program MM2H melalui MM2H One Stop Centre, MOTAC supaya warga asing yang berhasrat memohon pas MM2H dapat mengetahui semua butiran dan syarat permohonan melalui pusat sehenti.
“Pusat ini juga akan membantu pemohon memproses permohonan dan mengumpul bahan-bahan keperluan, seterusnya dimajukan terus ke KDN atau Jabatan Imigresen Malaysia untuk urusan pemprosesan dan pengeluaran pas MM2H,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menterinya, Tiong King Sing berkata, dengan demikian, proses permohonan akan lebih fleksibel.
“Selain itu, turut dibincangkan adalah mengenai kemudahan visa semasa ketibaan (VOA) terutamanya bagi pelancong-pelancong dari Negara China dan India, di mana pihak KDN bersetuju bahawa ia sesuatu yang baik untuk diteruskan bagi merancakan pembangunan industri pelancongan Malaysia.
“Kedua-dua belah pihak MOTAC-KDN cuma memerlukan penelitian lanjut,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, pada masa ini, negara-negara ASEAN, khasnya Indonesia telah membuka sepenuhnya kemudahan VOA kepada banyak negara.
“Malaysia perlu mempercepatkan kajian semula kemudahan ini supaya industri pelancongan negara kita tidak hilang daya saing dan terlepas daripada peluang keemasan ini,” ujarnya.
Tambah beliau, MOTAC dan KDN juga akan menyediakan Nota Kabinet berhubung perbincangan ini untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet untuk tindakan selanjutnya.
“MOTAC melalui penglibatan Tourism Malaysia akan terus memainkan peranan dalam mempromosi dan menggalakkan program-program seperti MM2H dalam memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi inap jangka panjang, terutama kepada pesara-pesara dan personaliti berpendapatan tinggi.
“MOTAC berharap agar semua pihak dapat menyokong hasrat Kerajaan untuk menambahbaik Program MM2H serta cadangan memperkenal semula VOA supaya ia dapat menjana ekonomi negara dan setanding dengan program seumpamanya di peringkat antarabangsa,” katanya.