Cyberjaya, – Platform e-dagang tempatan, MyMall, terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemangkin kepada pendigitalan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) apabila sekali lagi menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025, anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Kempen yang berlangsung dari 1 Mac hingga 30 April 2025 ini bukan sekadar usaha promosi musiman, malah merupakan satu langkah strategik ke arah memperluas akses pasaran digital buat PMKS tempatan, termasuk koperasi. KUSKOP menyasarkan RM5 juta hasil jualan, peningkatan ketara berbanding RM2.5 juta yang dicatat pada kempen sama tahun lalu.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick, MyMall bukan sahaja menjadi platform jualan, tetapi juga medium latihan, pemasaran dan peningkatan jenama untuk usahawan tempatan. “Ini adalah sebahagian daripada usaha KUSKOP mempercepat proses pendigitalan PMKS di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan majlis peluncuran kempen di Dewan ODEON, Kuala Lumpur.
Platform MyMall kini menjadi tumpuan bagi jenama-jenama tempatan yang semakin mendapat tempat di hati pengguna, termasuk Elrah Exclusive, Primavalet, The Makan Shoppe, Beubon, dan Aris Burger. Tambahan pula, artis-artis tempatan turut mengambil bahagian dengan produk eksklusif seperti sambal dan pakaian, memperluas daya tarikan kempen ini kepada pelbagai lapisan pengguna.
Inisiatif ini memberi peluang kepada usahawan kecil untuk bersaing di pasaran digital tanpa perlu modal besar, seterusnya memperkukuh ekosistem keusahawanan negara selari dengan matlamat Malaysia MADANI yang mementingkan inovasi, ihsan dan kesejahteraan.
Dalam majlis sama, KUSKOP turut menyampaikan penghargaan kepada usahawan cemerlang melalui anugerah Top Sales dan Rising Star Merchant, satu pengiktirafan yang diharap dapat menyuntik semangat bersaing secara sihat dan inovatif dalam kalangan usahawan.
KUSKOP menggalakkan lebih ramai usahawan menyertai MyMall dengan mendaftar di www.mymallmalaysia.my atau menghubungi terus menerusi e-mel. Orang ramai pula digesa menyokong kempen ini dengan membuat pembelian produk tempatan sebagai tanda solidariti kepada ekonomi negara.
