PETALING JAYA, 16 Mac 2025 – Polis akan merujuk kertas siasatan kes warga emas yang menampar seorang pemuda Cina kerana makan pada siang hari Ramadan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum Jumaat ini.
Menurut Ketua Polis Johor, M Kumar, lelaki berusia 65 tahun itu telah dipanggil untuk memberikan keterangan, selain beberapa saksi termasuk anaknya sendiri.
“Polis merakamkan percakapan mangsa semalam dan mangsa juga dihantar ke hospital untuk pemeriksaan perubatan.
“Keterangan doktor akan dirakamkan sebelum kertas siasatan dirujuk atas nasihat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Polis Minta Hentikan Spekulasi
Kumar turut meminta masyarakat agar tidak mencetuskan spekulasi berhubung isu ini kerana ia disifatkan sebagai kes terpencil.
Sebelum ini, mangsa dikenali sebagai Elijah telah membuat laporan polis di Balai Polis Tampoi berhubung kejadian yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Johor.
Menerusi hantaran di platform X (Twitter), mangsa mendakwa dia sedang makan apabila dihampiri lelaki warga emas tersebut yang bertanyakan sama ada dia seorang Muslim atau tidak.
Mangsa juga mendakwa bahawa lelaki itu meminta untuk melihat kad pengenalannya sebelum bertindak menamparnya beberapa kali.
Bagaimanapun, anak kepada warga emas itu segera menenangkan keadaan dan memohon maaf atas tindakan bapanya.