Kerjasama Penggiat Filem dan Sokongan Kerajaan Bantu Rancak Semula Industri Filem

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara penggiat industri perfileman dan sokongan daripada kerajaan diyakini dapat membantu usaha Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) merancakkan semula industri itu yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata pelbagai program dan inisiatif telah dirancang tahun ini bagi menggerakkan industri perfileman termasuk memberi kelonggaran bagi penggunaan alatan termasuk peralatan penerbitan studio.

“Filem kita jika tidak diaktifkan semula, ia akan jejaskan ekosistem industri perfileman. Jika tiada dana dan tiada penerbit yang punyai kewangan yang kukuh maka filem tidak dapat dihasilkan sekali gus akan menjejaskan pengarah, pelakon dan kru penerbitan,

“Sebagai contoh, apa yang dilaksanakan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) melalui Program Pemantapan Ahli Amatur bagi melahirkan pengarah muda adalah satu usaha yang baik. Kalau semua pihak termasuk persatuan di bawah FINAS mainkan peranan masing-masing, saya yakin industri filem kita akan bergerak semula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelepasan Tren Barisan Kru dan Pelakon Misteri Hutan Tok Kepak (MHTK) di Stesen Keretapi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Presiden FDAM Dr Ahmad Ibrahim, Ketua Pegawai Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Suhaimi Yaacob dan Ahli Majlis Penasihat FDAM Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Sementara itu, Ahmad berkata FDAM menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurang 10 penerbit muda dalam kalangan ahli amaturnya setiap tahun melalui projek penerbitan filem kos rendah.

“Bermula pada hujung 2019 dengan empat orang ahli pertama, kini jumlah ahli amatur FDAM telah mencapai hampir 300 orang dari seluruh negara. Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya seperti pensyarah, peguam, peniaga, penerbit, pelakon serta siswazah yang baharu berijazah.

“Walaupun mereka tiada pengalaman dalam pengarahan filem, mereka telah menunjukkan daya usaha untuk menimba ilmu dan kemahiran daripada pengarah senior,” katanya.

Katanya filem Misteri Hutan Tok Kepak terbitan bersama FDAM dan K. Titanium Pictures adalah projek perintis penerbitan filem yang diusahakan sepenuhnya oleh generasi pertama penerbit muda dalam kalangan ahli amatur FDAM. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat