CYBERJAYA – Seorang suspek lelaki yang juga pegawai kanan polis kes langgar sehingga menyebabkan kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh kelmarin akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh esok.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Pejabat Peguam Negara berkata, pihaknya mendapati keterangan mencukupi untuk mendakwa suspek yang berusia 44 tahun itu atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Jabatan Peguam Negara merujuk kes kemalangan jalan raya berlaku Khamis lalu berhampiran SMK Jati antara sebuah kereta dipandu seorang pegawai kanan polis dengan sebuah motosikal yang menyebabkan kematian (penunggang) pelajar berusia 17 tahun.
“Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan dan keterangan dikemukakan dalam kertas siasatan, jabatan ini mendapati terdapat keterangan mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap saspek,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Pejabat Peguam Negara berkata, suspek akan dituduh secara tentatif di Mahkamah Majistret Ipoh esok, sebelum mahkamah sama menetapkan tarikh untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi bagi tujuan perbicaraan.
Terdahulu, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang berusi 17, maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh, kelmarin.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen.