Kolaborasi lapan ‘rappers’

- Advertisement -

Lapan penyanyi rap kini bergabung dalam satu lagu berjudul Dua Puluh yang mana merealisasikan impian peminat muzik hip hop tanah air untuk melihat kolaborasi ini.

Menampilkan Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta, Ical Mosh, Benzooloo, B-Heart, Juki dan Siqma, Dua Puluh umpama satu karya yang mewakili suara generasi muda.

Bagi Luca selaku penerbit lagu ini, ia menjadi cabaran baharu buatnya dalam menerbitkan karya lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan ramai bintang.

“Lagu ini sudah dihasilkan pada 2019, sebelum pandemik Covid-19 menular lagi. Jadi, bagi menyajikan karya yang terbaik, kami lakukan semula proses suntingan.

“Satu cabaran terbesar bukan saja buat saya, tetapi buat kami semua adalah kekangan jarak antara satu sama lain. Jadi, setiap penyanyi merakamkan sendiri bahagian masing-masing dan saya perlu sunting semula untuk setarakan kualiti bunyi dan sebagainya,” katanya.

Bermula dari karya yang diberi judul Marysia, kandungan asal dalam lagu ini ditukar supaya lebih komersial.

“Berbanding Marysia, kandungan dalam Dua Puluh lebih komersial, namun, ‘vibe’ lagu asal masih dikekalkan. Dari segi penambahan lain, kami suntikkan elemen Nusantara dalam lagu ini,” katanya.

Luca berkata, dia juga memimpin pasukannya itu supaya kekal berada atas landasan dan tema yang ditetapkan dalam menulis lirik bahagian masing-masing.

“Saya nasihatkan semua penyanyi yang terbabit supaya tidak lari jauh dari topik asal iaitu mengenai jatuh bangun dalam kehidupan. Jadi, kami berjaya mendapatkan cerita dengan hala tuju sama, namun daripada persepsi dan perspektif berbeza,” katanya.

Bagi Kmy selaku penulis lagu ini, Dua Puluh menjadi bukti bahawa mereka masih ingat asal usul mereka yang bermula dari ‘underground’.

“Kali ini, kami nak kongsikan genre hip hop yang lebih kepada muzik ‘underground’. Jadi, apabila rakan-rakan ‘underground’ mendengarkan karya ini, mereka pasti tahu bahawa kami masih menghargai mereka dan muzik diperjuangkan.

“Secara tak langsung, saya berharap supaya karya kali ini memberikan semangat kepada pendatang baharu industri memandangkan mesej yang cuba kami sampaikan dalam lagu Dua Puluh lebih ke arah itu,” katanya.

Lagu Dua Puluh berada di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 3 Disember lalu manakala muzik videonya pula boleh ditonton menerusi saluran Youtube Playaz Network.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat