Langkah sekatan pergerakan dibuat secara teliti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuat penelitian rapi sebelum keputusan melaksanakan sekatan pergerakan sama ada di peringkat daerah, negeri atau secara keseluruhan di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata penelitian itu membabitkan pelbagai aspek.

Katanya, penelitian dibuat melalui perbincangan menyeluruh membabitkan kementerian dan agensi berkaitan khususnya mekanisme Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 dan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir setiap hari sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Penilaian risiko jangkitan COVID-19 yang untuk satu-satu kawasan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menentukan tahap keseriusan jangkitan kes di sesuatu tempat.

“Satu lagi penelitian yang dibuat oleh kerajaan sebelum keputusan pelaksanaan PKP ialah penilaian analisis kos, kemampuan tenaga kerja dan faedah pelaksanaannya yang tertumpu kepada aspek kesihatan awam,” katanya menjawab soalan pada sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Mohd Redzuan menjelaskan antara perkara yang diambil kira dalam analisis itu adalah persediaan dan kemampuan fasiliti seperti makmal dan klinik/hospital kerajaan, keperluan Pakaian Perlindungan Diri (PPE) dan sanitasi dan kos ujian saringan COVID-19.

Turut diambil kira ialah penempatan individu dalam pengawasan (PUS) dan orang yang disyaki (PUI) di stesen kuarantin yang membabitkan kos makan minum, kebajikan, aspek pembersihan, penyelenggaraan; dan keupayaan petugas yang terbabit secara langsung dalam menangani COVID-19.

Beliau berkata, kerajaan melaksanakan tindakan pengurusan pandemik COVID-19 secara menyeluruh dan bersepadu.

“Tindakan itu merangkumi peringkat jentera kerajaan dan menggembleng peranan rakyat dalam memelihara diri, keluarga serta komuniti.

“Kerajaan Persekutuan menetapkan pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sama di seluruh negara sebagai garis panduan untuk mencegah penularan wabak ini.

“Bagaimanapu, atas permintaan negeri tertentu, SOP itu boleh diubah suai secara pentadbiran mengikut kesesuaian di negeri terbabit dengan mengambil kira penilaian ditetapkan,” katanya.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat