Sorok kes buli demi jaga imej sekolah dianggap kesalahan, lindungi jenayah – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas kepada pihak sekolah khususnya guru besar agar tidak melindungi sebarang kes buli yang berlaku di institusi pendidikan meskipun ia dilihat kecil atau remeh.

Anwar menegaskan, tindakan melindungi kes sebegitu boleh dianggap sebagai satu bentuk jenayah.

Menurutnya, antara punca kes buli berlarutan adalah kerana wujudnya salah faham atau keutamaan yang diberikan untuk menjaga imej sekolah melebihi soal keselamatan pelajar.

“Guru besar, ibu dan bapa perlu beri kerjasama penuh. Kadangkala mereka lebih pentingkan imej sekolah berbanding keselamatan murid.

“Kalau ada kes buli yang disembunyikan, ia dianggap sebagai satu kesalahan seolah-olah melindungi jenayah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling, Presint 5 lapor MalaysiaGazette.

Perdana Menteri juga mengakui terdapat kecenderungan sesetengah pihak menganggap kes buli kecil dan tidak perlu diperbesarkan.

“Buli kecil kalau dibiarkan akan jadi besar. Kita tak menuduh sesiapa tapi ini satu peringatan untuk kesedaran bersama. Jangan kerana nak jaga nama, kita abaikan tanggungjawab,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru agar pihak berkuasa seperti polis dapat mengambil tindakan segera terhadap kes-kes buli yang tular di media sosial kerana ia berada dalam bidang kuasa yang membolehkan tindakan pantas diambil.

“Polis boleh bertindak segera. Media sosial pun boleh segera. Ini peringatan kepada pihak sekolah – jangan melindungi. Buli kecil pun jenayah juga,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menyentuh tentang cabaran yang dihadapi oleh guru dalam mendidik khususnya dalam suasana semasa yang menuntut keseimbangan antara ketegasan dan hak asasi.

“Kadang-kadang ada guru lama yang masih tegas tapi kita kena ingat, jangan sampai pukul sampai luka. Tapi untuk menegur atau mendisiplinkan, perlu ada ruang.

“Golongan liberal dan hak asasi kadang keterlaluan, sampai tak boleh langsung. Jadi, kita perlu pelonggaran dengan syarat yang ketat,” ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat