Kita Patut Hentikan Amalan Lompat Parti – Mahathir

- Advertisement -

LANGKAWI – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini bersetuju dengan cadangan membentang rang undang-undang anti lompat parti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan perlu melakukan kajian terperinci terlebih dahulu sebelum rang undang-undang itu dilulus dan dilaksanakan.

Katanya, kajian itu mengenai maksud melompat parti dan hukuman terhadap ahli politik yang terlibat.

“Kita (Pejuang) bersetuju, kita patut hentikan lompat melompat (parti) tapi kita nak kena kaji dengan mendalam apa dia makna melompat dan apa hukum yang akan dikenakan terhadap mereka melakukan kesalahan itu.

“Kadang-kadang ada pulak parti yang pecat (ahli) macam saya kena pecat jadi apa dia hukuman terhadap pemecatan, boleh ke pecat, semua ini perlu dikaji dengan mendalam, kalau kata tidak boleh lompat banyak benda tak betul boleh berlaku.

“Ada juga kalangan ahli yang menyokong kerajaan dan mereka lihat parti mereka menyeleweng mereka nak keluar dan tidak menyokong, mereka nak keluar tapi kalau ada undang undang yang melompat dia tidak boleh keluar, kalau keluar dia hilang tempat,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Pada 2 September lalu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan menghantar notis cadangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Azalina yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, usul itu adalah selari dengan inisiatif anti lompat parti yang sedang diusahakan kerajaan dan secara tidak langsung mewujudkan kebersamaan dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir memberitahu, pelantikan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) seharusnya tanpa penglibatan ahli politik sebaliknya perlu mengandungi hanya golongan profesional.

“Saya tak bersetuju kalau badan itu adalah badan kerajaan yang mana ahlinya akan ada orang politik kerana apabila ada orang politik, dia nak utamakan politik sebaliknya rakyat menderita,” ujarnya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,578FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat