KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempertikai jawapan kerajaan berhubung urus niaga penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada GIP-BlackRock melalui kaedah penswastaan yang didakwa sebagai tidak jujur kepada rakyat.
Ketua Armada Bersatu itu mempersoalkan bagaimana mereka boleh katakan ini transaksi komersial semata-mata tanpa implikasi kewangan kepada kerajaan?
“Bukankah KWSP dan Khazanah menerima dan menguruskan dana awam daripada pencarum dan modal kerajaan yang dipungut daripada cukai rakyat?
“Malah kalau perkara buruk berlaku daripada penswastaan MAHB ini seperti 1MDB dulu, Kerajaan Persekutuan (baca: rakyat Malaysia) akan dipaksa menanggung liabiliti dan kerugian yang akan ditinggalkan oleh MAHB akibat urus niaga GIP-BlackRock yang diuruskan oleh Khazanah-KWSP ini.
“Khazanah dan KWSP bukan entiti Swasta. Mereka adalah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yakni milik semua rakyat Malaysia, jelas beliau.
Wan Ahmad Fayhsal mengulang desakan supaya kerajaan tangguh dan batalkan penjualan saham MAHB kepada pro-Zionis BlackRock yang memiliki GIP.
“Kami tidak reda wang caruman kami digunakan untuk membantu pembunuhan beramai-ramai di Palestin,” gesa beliau.
Wan Ahmad Fayhsal turut berkongsi jawapan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat yang menyatakan, memandangkan tawaran ini merupakan satu urusan transaksi komersial, maka ia tidak mendatangkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.
Kata Anwar, kerajaan akan terus memantau perkembangan ini dan memastikan apa jua keputusan yang dicapai nanti perlulah dibuat berpandukan kepada undang-undang dan peraturan semasa berkuat kuasa.
“Secara prinsipnya, tawaran pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) ini merupakan satu urusan transaksi komersial yang dikemukakan oleh sebuah konsortium yang dikenali sebagai Gateway Development Alliance dan diterajui oleh dua pemegang saham sedia ada MAHB ketika ini iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Seandainya tawaran tersebut diterima dan dipersetujui olen para pemegang saham MAHB yang lain, pemilikan MAHB oleh konsortium berkenaan adalah berdasarkan pecahan yang berikut iaitu Khazanah 40 peratus dan KWSP 30 peratus dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure
Partners (GIP) 30 peratus.
“Ini bermakna pegangan Khazanah dan KWSP akan meningkat daripada 41 peratus kepada 70 peratus.
“Konsortium ini akan diterajui oleh para pelabur Malaysia.
“Konsortium berkenaan telah menawarkan RM11 sesaham yang melebihi harga saham tertinggi sepanjang masa MAHB iaitu RM10.58 sesaham. Ini bersamaan dengan nilai tawaran sebanyak RM18.4 bilion secara keseluruhannya.
“Tawaran ini perlu dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 90 peratus pemegang saham sedia ada MAHB ketika ini dan ia dijangka akan dimuktamadkan pada suku tahun ketiga tahun ini,” jelas Menteri Kewangan.