PKR Belum Terima Aduan Politik Wang, Saifuddin Seru Lapor Salah Laku

- Advertisement -

GEORGE TOWN – Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan bahawa setakat ini tidak ada laporan rasmi diterima mengenai politik wang dalam pemilihan dalaman parti yang sedang berlangsung.

Mengulas kebimbangan yang dibangkitkan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Saifuddin menegaskan bahawa Lembaga Disiplin parti belum menerima sebarang aduan berhubung sebarang usaha membeli undi atau salah guna kewangan sepanjang kempen parti berlangsung.

“Setakat ini tiada laporan rasmi tentang politik wang. Kalau sekadar guna wang untuk bayar sewa khemah, buat jamuan atau program di restoran, itu perkara biasa dalam berkempen,” katanya kepada media selepas menghadiri satu majlis Hari Penjara di sini.

Beliau juga menjelaskan bahawa tidak wajar menyamakan perbelanjaan untuk tujuan logistik dan penganjuran program sebagai cubaan membeli undi.

Namun, beliau memberi peringatan agar tidak keterlaluan dalam gaya berkempen, terutamanya melibatkan perbelanjaan mewah yang boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Kalau kempen guna hotel lima bintang atau jamuan yang terlalu mewah, itu memang saya tolak. Masyarakat sekarang amat peka dengan isu seperti ini,” jelasnya lagi.

Menteri Dalam Negeri itu turut mengingatkan semua calon agar menjaga etika semasa berkempen dan menyeru mana-mana ahli parti yang mempunyai bukti salah laku supaya segera mengemukakan aduan kepada Lembaga Disiplin.

Saifuddin turut menyentuh mengenai sejarah awal parti sekitar 1998 dan 1999, yang menurutnya berdiri dengan sumber kewangan yang amat terhad.

“Dulu kita buat ceramah di warung tepi jalan, kongres parti pun terpaksa diadakan di sekolah Cina kerana tiada dewan sudi beri ruang. Jadi kita tahu asal-usul kita,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rafizi Ramli dalam satu ceramah di Kota Bharu baru-baru ini memberi amaran kepada semua pihak agar tidak terjebak dalam budaya politik wang.

“Perkara ini memang wujud. Kita jangan tipu diri atau rakyat kononnya kita bebas sepenuhnya daripada risiko tersebut,” kata Rafizi seperti dipetik Sinar Harian.

Saifuddin yang dianggap salah seorang tokoh kanan parti, turut menyatakan bahawa hubungannya dengan Rafizi dan Nurul Izzah Anwar kekal rapat, menyifatkan mereka sebagai “adik lelaki” dan “adik perempuan” dalam perjuangan.

Beliau juga mengulangi keputusannya untuk tidak bertanding dalam pemilihan kali ini bagi memberi tumpuan kepada hal-hal yang lebih luas dalam perjuangan parti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat