Oleh Zihan Zari
JITRA – Tiga pelajar, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Muhammad Norshahizat Mohd Arifin, Anis Nabila Anuar dan Muhammad Shafey Adwa Shahruddin
melakarkan sejarah apabila diumumkan projek inovasi mereka ‘SafeCut: Hygenic Poultry Cutter’ berjaya merangkul Anugerah Pingat Emas dan Projek Terbaik Pertandingan Inovasi IDEANOVA 2025.
Pertandingan Inovasi IDEANOVA 2025 telah dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan dilaksanakan secara dalam talian online baru-baru ini.
POLIMAS dalam kenyataannya memaklumkan, ketiga-tiga mereka yang cemerlang itu merupakan pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji) di bawah seliaan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal POLIMAS, Azunaidi Abdul Aziz.
“SafeCut: Hygenic Poultry Cutter adalah penambahbaikan daripada projek Chicken Cutting Machine (CCM), berdasarkan kepada keperluan memenuhi elemen One Health Element Approach dalam pertandingan itu.
“Ternyata, penambahbaikan ini berjaya meraih Pingat Emas dan Anugerah The Best IDEANOVA dalam pertandingan ini ,”kata kenyataan itu.
“Kejayaan ini sekali gus membuktikan potensi inovasi ini untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, termasuk pengkomersialan dalam industri pemprosesan makanan, ”katanya.
Muhammad Norshahizat berkata SafeCut merupakan mesin pemotong ayam separa automatik yang direka khas untuk menghasilkan potongan ayam yang seragam, bersih dan selamat.
“Ia menggunakan sistem pneumatik dengan tekanan antara 7 hingga 8 bar serta dilengkapi dengan pintu keselamatan magnetik dan pedal kaki bagi tujuan pembersihan automatik, ”katanya.
“Projek ini dibangunkan selepas mengenal pasti masalah dalam proses pemotongan ayam secara manual yang kerap menyebabkan potongan tidak sekata, pembaziran daging dan risiko keselamatan kepada pengguna.
“Dengan reka bentuk separa automatik ini, proses pemotongan menjadi lebih cepat, ergonomik, dan mematuhi piawaian kebersihan industri makanan, ”katanya lagi.
Bagi Anis Nabila, kemenangan ini amat bermakna buat kumpulannya dan menerima pingat emas serta pengiktirafan sebagai idea terbaik merupakan satu penghargaan yang luar biasa.
“Ia bukan sahaja membuktikan keberkesanan projek kami, malah menyuntik semangat untuk membawa idea ini ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya tidak menyangka bahawa projek ini akan meraih anugerah sebegitu berprestij.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada penyelia kami yang telah banyak membantu dari segi khidmat nasihat dan sokongan sepanjang perjalanan projek ini, ”katanya.
Tiga pelajar POLIMAS Muhamad Helmi Riya’i, Adam Imtiaz Mohd Yusoff dan Muhammad Norshahizat Mohd Arifin
turut meraih pingat gangsa melalui projek inovasi ‘Eco-Friendly Industrial Steam Cleaning’.
Dalam pada itu, Prof Madya Dr Sharifah Norkhadijah Syed Ismail berkata IDEANOVA bukan satu pertandingan ia adalah satu platform yang mencetuskan idea baharu, membina penyelesaian releven serta menonjolkan potensi sebenar belia serta profesional pada masa kini.
“Keberanian anda untuk berkongsi idea, bekerjasama dalam pasukan amatlah dihargai dan semoga pengalaman ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kejayaan serta pencapaian yang dibanggakan pada masa akan datang.
“Teruskan berinovasi, berfikir secara kreatif dan menjadi ejen perubahan dalam komuniti serta industri masing-masing,”katanya yang juga pengerusi pertandingan.
IDEANOVA 2025, menerima penyertaan pelajar dari Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC), Kolej Vokasional, serta Institut Kemahiran Latihan Awam (ILKA) yang memberi peluang kepada lebih ramai pelajar Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menunjukkan bakat dan idea inovatif masing-masing.
Pertandingan pada kali ini menawarkan hadiah berupa sijil dan pingat kepada para peserta yang berjaya memenangi nya. – SUARA.TV