Akmal Tempelak PMX: Jangan Lupa Anda Juga Pernah Disokong Seperti Najib Kini

- Advertisement -

CYBERJAYA – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, membidas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertikaikan pihak yang dianggap “obses” terhadap skandal 1MDB dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Akmal menjelaskan bahawa sokongan mereka bukan kerana taksub kepada Najib, tetapi kerana mempertahankan hak yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Bukan obses pada Najib wahai PMX (Perdana Menteri). Tetapi mempertahankan hak Najib yang telah mendapat tahanan rumah yang dikurniakan kepada beliau oleh Tuanku Agong yang sebelum ini,” katanya.

Tambah beliau, mereka tidak mempertikaikan keputusan mahkamah, sebaliknya hanya mahu keputusan Yang di-Pertuan Agong dihormati.

“Kami tidak turun berdemo mempertikaikan keputusan mahkamah seperti yang pernah dilakukan oleh penyokong Anwar satu masa dahulu. Kami hanya mahu hak Najib diberikan sahaja.

“Mahkamah dah berikan keputusan ke atas kes beliau maka kami akur, tetapi apabila Najib diberikan hak tahanan rumah oleh Tuanku Agong, maka harus kita semua akur.”

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada temu bual eksklusif Anwar bersama program 101 East terbitan Al Jazeera, di mana Anwar mempersoalkan fokus berlebihan terhadap isu Najib dan 1MDB, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai “helah jahat” oleh pihak tertentu.

“Saya fikir ia adalah helah terang-terangan dan jahat oleh beberapa penyangak yang terus menonjolkan Najib berulang kali supaya kes mereka diabaikan,” kata Anwar dalam wawancara itu.

Menjawab lanjut, Dr. Akmal menyamakan perjuangan penyokong Najib kini dengan apa yang dilakukan penyokong Anwar pada masa lalu.

“Sama juga seperti penyokong Anwar dahulu, yang merasakan Anwar perlu diberikan hak pengadilan yang adil, begitu juga kami pada Najib.

“Tiada helah yang lain, selain dari hak Najib perlu diberikan. Bagaimana Anwar mempunyai jasa pada negara, begitu juga dengan Najib yang tidak boleh dinafikan jasanya.

“Maka jangan takut, jangan bimbang ya PMX,” katanya.

Terdahulu, pada 29 Januari 2024, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengeluarkan titah adendum yang meringankan hukuman penjara Najib kepada tahanan rumah, sebagai tambahan kepada pengurangan hukuman penjara dari 12 tahun kepada 6 tahun serta denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib sedang menjalani hukuman penjara atas sabitan kes salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat