KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menempelak sesetengah pihak yang mengaitkan dirinya dengan insiden keganasan yang melanda negara ketika ini terutama membabitkan beberapa pemain bola sepak.
Tunku Ismail malah membidas tanda pagar #IniSemuaSalahTMJ.
“Akhyar kena samun, Faisal kena asid, Safiq kereta kena pecah, Siti Nurul Masyitah kena langgar kereta, semalam seorang lelaki dari Bagan Serai Perak ditangkap dan jumpa bom di rumah.
“Semalam Balai Polis Ulu Tiram diserang lelaki bertopeng, dan dua anggota polis ditembak. Semua ni kerja TMJ, FAM, polis dan MFL.
“Semua kes ini tiada kaitan dengan bola sepak, berlaku di luar kawasan stadium dan luar kawasan bola sepak. Tetapi mari kita beramai ramai buat Solidarity “stop violence in football #IniSemuaSalahTMJ,” seru pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu di Instagramnya pada Jumaat.
Ini susulan, pelbagai spekulasi dimainkan pihak tidak bertanggungjawab susulan insiden Akhyar yang beraksi bersama pasukan Terengganu FC (TFC) disamun dan dipukul.
Malah, spekulasi terus dimainkan selepas insiden malang menimpa Faisal yang mana pemain Selangor FC berusia 26 tahun itu menjadi mangsa simbah asid di pusat beli belah, 5 Mei lalu.
Insiden membabitkan pemain bola sepak menimpa Safiq pula apabila pemain JDT itu diserang dengan cermin keretanya dipecahkan individu tidak dikenali.