Pertumbuhan Kewangan Islam Di Malaysia Dijangka Terus Kukuh – Moody’s

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Moody’s Investors Service (Moody’s) menjangka pertumbuhan kewangan Islam yang kukuh di Malaysia akan berterusan untuk tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang disokong oleh lebih banyak inisiatif kerajaan dan perbankan digital.

Penganalisis Kumpulan Institusi Kewangan Chong Jun Wong berkata sama seperti pasaran Islam utama lain, pertumbuhan bank Islam di Malaysia sebenarnya telah mengatasi pertumbuhan rakan setara konvensional mereka sejak beberapa tahun ini.

“Ini disokong oleh beberapa perkara. Pertama, rangka kerja Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang diwujudkan oleh kerajaan pada 2018 serta meningkatkan keupayaan digital bank Islam yang lebih kecil dan strategi ‘Islamic First’ yang dilaksanakan oleh kumpulan perbankan utama,” katanya dalam webinar bertajuk “Growth In Malaysia’s Islamic Finance Resilient Despite Challenges” hari ini.

Beliau berkata kerajaan turut mengeluarkan lima lesen perbankan digital pada tahun lepas, yang diberikan kepada kewangan Islam.

Selain itu, katanya pelan untuk membangunkan ekonomi Halal seperti yang digambarkan oleh Pelan Induk Industri Halal 2030, yang dilancarkan awal tahun ini dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan (FSB) yang diperkenalkan pada tahun lepas dijangka memacu permintaan terhadap produk Islam.

“Kewangan Islam menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah pembiayaan di Malaysia, antara yang tertinggi jika dibandingkan dengan rakan setara dalam pasaran utama.

“Justeru, dengan sokongan dasar, kami menjangka kadar penembusan kewangan Islam di Malaysia akan terus berkembang,” katanya.

Chong berkata strategi ‘Islamic First’ yang dilaksanakan oleh kumpulan perbankan yang besar turut menyumbang kepada kadar penembusan yang tinggi untuk kewangan Islam.

“Dengan strategi ini, bank komited untuk mengembangkan perniagaan perbankan Islam mereka dan mereka akan melakukannya dengan memberi keutamaan kepada produk Islam kepada pelanggan,” katanya.

Selain itu, katanya bank Islam di Malaysia juga mempunyai rangkaian produk dan perkhidmatan yang luas untuk memenuhi keperluan pelanggannya dan pembiayaan perdagangan sebagai sebahagian daripada sokongan untuk mengembangkan ekonomi halal di Malaysia.

Beliau berkata bank Islam telah mewujudkan program untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang seperti pensijilan halal dan latihan.

Katanya ini akan membantu meningkatkan pelaksanaan kewangan Islam oleh syarikat yang diperakui halal. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat