Golongan T20 banyak nikmati manfaat subsidi, kerajaan akan kaji mekanisme baru

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Golongan kaya atau kumpulan T20 ketika ini lebih banyak menikmati subsidi yang diperuntukan oleh kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Jelas beliau, manfaat tersebut termasuk sebahagian besar subsidi petroleum berjumlah RM4 bilion setakat Mac tahun ini yang telah dinikmati oleh kumpulan tersebut.

Ini kerana, jelas beliau, subsidi yang disalurkan kerajaan bersifat menyeluruh dan memanfaatkan semua lapisan masyarakat.

“Setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen pergi kepada golongan T20 manakala 15 sen dimanfaatkan oleh B40.

“Jadi, contohnya subsidi tahun ini dijangka melebihi RM30 bilion juta dan lebih RM15 bilion juta itu adalah subsidi kepada T20,” katanya dalam temu ramah Ekonomi Malaysia Suku Pertama 2022, bersama pemberita di Putrajaya pada Selasa.

Sehubungan itu memetik Astro Awani, Tengku Zafrul mengulas, kerajaan sedang mengkaji semula mekanisme pemberian subsidi elektrik dan petrol supaya ia lebih bersasar dan menumpukan kepada golongan rentan.

Beliau berkata, langkah itu bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan sumber negara ditumpukan untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

“Pada Februarui 2021, subsidi produk petroleum yang ditanggung oleh kerajaan hanya RM200 juta. Namun, menjelang Januari 2022, ianya adalah RM2 bilion dan pada Mac pula sudah lebih RM4 bilion.

“Manakala untuk subsidi elektrik pada separuh tahun pertama 2022, kerajaan mengekalkan tarif elektrik untuk semua kediaman iaitu besar dan kecil dengan kos subsidi lebih kurang RM700 juta.

“Kerajaan sedang kaji cara penyelarasan, di mana kita telah buat sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan bawa kepada Kabinet dalam masa terdekat. Yang penting data yang ada dan juga cara kita nak guna platform apa untuk pastikan golongan kita sasarkan dapat bantuan kerajaan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan turut menyalurkan bantuan lain termasuk Keluarga Malaysia berjumlah RM8 bilion dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup.

Setakat ini, ujarnya, kerajaan masih mengekal harga minyak bagi RON95 pada harga sekitar RM2.05 berbanding kos sebenar yang melebihi RM4 selain menanggung sebanyak RM700 juta subsidi ayam dan telur bagi tempoh Februari hingga Mei 2022.

Kerajaan, kata Tengku Zafrul, akan terus mengawal kenaikan harga demi membantu rakyat dan juga menyokong momentum pemulihan ekonomi kita.

“Dengan dasar subsidi ini, kadar inflasi agak rendah dan diunjurkan antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus.

“Kalau kita nak bandingkan kadar inflasi Malaysia dengan kadar inflasi di negara-negara lain, terutamanya apa yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), IMF mengunjurkan kadar inflasi bagi negara maju adalah 5.7 peratus dan bagi negara membangun ialah 8.7 peratus.

“Kadar inflasi Mac 2022 bagi Malaysia hanyalah 2.2 peratus,” ujar beliau lagi. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,590FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat