KUALA LUMPUR – Budaya habuan dan duit yang dikatakan merosakkan Umno merupakan amalan lama yang sudah dibersihkan pada masa ini.
Pengerusi Veteran Umno Datuk Othman Desa berkata, tidak adil sekiranya hanya Umno dikatakan terbabit dengan budaya itu, sedangkan parti-parti lain turut tidak terkecuali mengamalkannya.
Katanya, ini kerana semua organisasi politik memerlukan duit untuk beroperasi serta menjalankan program masing-masing.
“Jangan terlalu pentingkan duit ataupun harta sebab ini boleh merosakkan parti. Parti mana tidak kisah, Umno atau parti apa sekalipun, parti lain pun ada main duit juga, bukan tiada main duit.
“Umno menguruskan pengurusan dan sebagainya. Mungkin masa dulu ada juga, masa kita katakan duit ada banyak dan sebagainya. Mengurus parti menggunakan duit untuk naik dan lain-lain, namun zaman itu telah habis, sudah berlalu,” katanya memetik Utusan pada Jumaat.
Semalam, akhbar itu melaporkan veteran Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata, budaya habuan dan duit yang menular dalam Umno telah merosakkan parti terbesar orang Melayu itu.
Kata bekas Menteri Besar Selangor itu, budaya tersebut menular disebabkan pemimpin Umno yang bersaing sesama sendiri untuk merebut jawatan, berbanding kerja berpasukan sebagai satu parti, sekali gus memburukkan parti itu di mata masyarakat.
Othman berkata, walaupun budaya itu pernah menjadi amalan dalam parti, namun ia sudah dibersihkan bahkan keutamaan pemimpin masa kini adalah memperjuangkan nasib rakyat secara keseluruhan.
“Cuma sekarang ini Umno sudah kembali kepada perjuangan asal, maksudnya kita berjuang walaupun tiada duit semuanya demi rakyat, sebab itu Umno sudah mencapai usia 80 tahun dalam politik tanah air.
“Kalau hendak katakan Umno ini bergantung pada duit saja, sekarang Umno sudah tiada duit, makna parti Umno semakin merosot, tapi tidak. Umno adalah parti akar umbi orang Melayu.” katanya.
Othman berkata, kenyataan dikeluarkan bekas Naib Presiden Umno itu perlu dijadikan nasihat supaya pemimpin sedia ada belajar daripada kesalahan lama dan terus berubah.
“Kita kena belajar berubah, muhasabah diri. Kita yakin rakyat akan terus menyokong Umno kerana kita sebuah parti yang sistematik yang sudah banyak berjasa dan pengalaman di dalam negara,” katanya.



