KUALA LUMPUR- Armada Bersatu menegaskan tiada kompromi dan maaf untuk tindakan tidak patriotik akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily.
Ketuanya Hilman Idham berkata, Armada Bersatu memandang serius terhadap isu berhubung ilustrasi muka depan akhbar Sin Chew Daily yang mengibarkan bendera Malaysia tanpa bulan sabit dan China sempena dengan lawatan Presiden China Xi Jinping kelmarin.
Tegas beliau, atas apa juga alasan, ini memaparkan sikap tidak patriotik Sin Chew.
“Justeru itu, Armada Bersatu mendesak kerajaan dan pihak berkuasa untuk bertindak tegas berdasarkan undang-undang tanpa sebarang kompromi terhadap perbuatan dan kecuaian ini.
“Ini bukan saja penting bagi menjamin kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara tetapi menjadi pengajaran buat mana-mana pihak yang cuba memperlekeh kedaulatan dan kewibawaan Malaysia.
“Saya menyeru seluruh rakyat yang cinta akan tanah air untuk bersatu dan menzahirkan semangat patriotisme demi Malaysia yang gagah,” tegas Hilman.