KUALA LUMPUR- Petugas yang bertanggungjawab atas kesilapan melibatkan paparan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka depan akhbar Sin Chiew Daily Selasa lalu akan berdepan dengan tindakan disiplin.
Sin Chew Daily dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menjalankan siasatan dalaman secara terperinci berkaitan insiden itu.
“Jabatan Pengarang Sin Chew Daily telah menambah baik prosedur semakan khususnya dalam aspek penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Kami berjanji untuk lebih berwaspada dan peka dalam menangani isu yang boleh menjejaskan maruah negara dan hubungan antara kaum,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, pengurusan Sin Chew Daily dengan sepenuh hati menerima titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkaitan kesilapan Jalur Gemilang yang dipaparkan di muka depan akhbar itu.
Sultan Ibrahim pada Rabu bertitah, kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan (Sin Chew Daily) boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.
Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah, pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak.
Terdahulu, Sin Chew Daily tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang itu.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Sin Chew Daily telah diberikan surat tunjuk sebab selepas dipanggil bagi siasatan berhubung isu penyiaran Jalur Gemilang tidak lengkap.
KDN dalam kenyataan memaklumkan, siasatan dilaksanakan serta-merta di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Pada Selasa, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.