KUALA LUMPUR – “Saya letakkan nasib saya di tangan Allah SWT dan sistem kehakiman serta perundangan negara yang saya hormati”.
Demikian komen ringkas Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum memasuki kamar mahkamah untuk prosiding rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman empat tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dihadapinya berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan turut berharap prosiding rayuannya hari ini berjalan lancar.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan mereka yang tidak putus-putus memberikan solidariti.
“Saya terhutang budi pada kalian semua. Sudah lima tahun menunggu, bulan lepas kita berada di sini, ditangguhkan lagi. Insya-Allah pada hari ini semua akan berjalan dengan baik,” katanya pada sidang media di lobi Istana Kehakiman, lapor BH di Putrajaya pada Khamis.
Sidang media itu berlangsung jam 9.50 pagi tadi, kira-kira 10 minit sebelum Syed Saddiq masuk ke kamar mahkamah untuk menyambung prosiding rayuannya.
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu turut dilihat bersemangat dengan kehadiran ahli keluarganya dan rakan terdekat termasuk penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.
Pada sidang media itu, Syed Saddiq turut menitipkan penghargaan atas jasa disumbangkan Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia Isnin lalu.
“Marilah kita sedekahkan al-Fatihah kepada negarawan Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Allahyarham berjaya membawa tiga reformasi dalam institusi kehakiman yang sangat besar dan masih dirasai (sehingga kini).
“Ini termasuk mengurangkan campur tangan politik (dalam institusi kehakiman). Saya terpanggil untuk berkongsi jasa beliau walaupun tidak sempat mengenali (Allahyarham) secara peribadi,” katanya.
Pada pendengaran 19 dan 20 Mac lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, selesai mendengar hujahan peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Berikutan itu, ia seterusnya akan bersambung hari ini dengan mendengar hujahan responden, iaitu Pendakwa Raya yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang tidak dapat meneruskan hujahan sebelum ini kerana sakit tekak.
Selepas itu, hujahan berkenaan akan dibalas pula oleh peguam Syed Saddiq, dan panel boleh membuat keputusan pada hari itu juga atau menangguhkan kepada tarikh lain, jika memerlukan masa untuk berbuat demikian.
Pada November 2023, Syed Saddiq diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun, dua kali sebatan serta didenda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana Armada Bersatu.