“Kulit Wayang” Seni budaya tradisi ditiup nafas moden

- Advertisement -

Di tengah-tengah landskap hiburan moden yang dipenuhi dengan naskhah aksi, cinta dan fiksyen sains, muncul sebuah karya filem tempatan yang bukan sahaja berani berbeza, malah menjadi jambatan antara warisan tradisional dan teknologi moden – Kulit Wayang.

Pelancaran rasmi filem Kulit Wayang bukan sekadar majlis tayangan perdana biasa. Ia hadir dalam bentuk sebuah festival budaya selama dua hari yang mencerminkan tema utama filem – iaitu kepentingan mengekalkan warisan seni tempatan dalam arus pemodenan. Acara yang berlangsung di KL Base, Sungai Besi ini menyaksikan penggabungan elemen seni, sukan, dan hiburan dalam satu pakej promosi kreatif yang belum pernah dilihat dalam promosi filem tempatan.

Apa yang membezakan Kulit Wayang adalah cara ia mengetengahkan Wayang Kulit – seni persembahan bayang-bayang yang kian pupus – sebagai nadi kepada naratif filem. Pengarah tersohor, Dain Said, menyifatkan filem ini sebagai “cerita ranting” moden – merujuk kepada amalan penglipur lara dahulu yang mencipta kisah-kisah baharu berdasarkan naratif utama epik Ramayana.

Wayang Kulit bukan sekadar persembahan. Ia adalah akar kepada penceritaan kita. Filem ini cuba membawa kembali semangat itu,” kata Dain yang juga terkenal melalui filem Bunohan dan Dukun.

Dengan latar masa di tahun 1980-an dan bertempat di sebuah kampung pesisir pantai di Terengganu, Kulit Wayang menampilkan kisah Ramlee, seorang dalang terpinggir yang tenggelam dalam bayang-bayang masa silamnya. Kehadiran seorang kanak-kanak perempuan, Dewi, dan penglibatannya dalam dunia Wayang Kulit, membuka semula pintu-pintu lama yang sarat misteri dan trauma.

Apa yang lebih menarik, Kulit Wayang bukan hanya disasarkan kepada pencinta seni dan filem berat, malah cuba menjangkau penonton muda. Dengan menyelitkan unsur fantasi, ghaib dan kisah misteri, filem ini berupaya menjadi jambatan antara generasi – memperkenalkan seni Wayang Kulit kepada generasi yang mungkin tidak pernah menyaksikannya secara langsung.

Menurut Fattah Amin, pelakon utama filem ini, “Kita tak boleh harapkan kanak-kanak sekarang faham budaya kita hanya melalui buku sejarah. Filem ini ada potensi menjadi titik tolak kepada minat mereka.”

Manakala co-producer Penny Chan pula melihat pendekatan festival sebagai peluang sinergi antara jenama dan budaya. “Kita nak bagi orang ramai rasa mereka sebahagian dari filem ini – bukan hanya sebagai penonton, tapi sebagai penyokong budaya.”

Inisiatif Kulit Wayang turut disokong oleh lebih 40 jenama tempatan – dari makanan hingga penjagaan diri – membuktikan bahawa warisan budaya bukanlah satu tema yang usang, tetapi sesuatu yang masih relevan dan mampu dijadikan teras kempen pemasaran yang kreatif.

Tambahan pula, pengumuman penangguhan Malika Music Festival 2025 ke tarikh baharu pada 31 Mei 2025 demi memberi ruang kepada acara pelancaran ini, menunjukkan betapa filem ini diberi perhatian yang cukup tinggi dalam kalendar budaya dan hiburan Malaysia tahun ini.

Dengan tayangan bermula 1 Mei 2025 di lebih 50 pawagam seluruh negara, Kulit Wayang bukan sahaja membawa penonton menyusuri kisah mendalam tentang kesedihan, memori dan pengampunan, tetapi juga memperlihatkan potensi filem tempatan sebagai medium penyambung budaya.

Mungkin inilah masanya untuk generasi muda melihat kembali ke belakang – melalui layar perak – dan menyedari bahawa cerita lama masih punya nyawa dalam bentuk baharu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat