KUALA LUMPUR – Rakyat bosan tengok parti yang asyik bergaduh sesama sendiri.
Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan, konflik dalaman juga jadi punca sesuatu parti gagal bertahan lama.
Hal ini terjadi apabila terlalu ramai ‘boss’, arah jadi keliru,” katanya.
“Bila parti hilang kepercayaan sama ada kerana kalah pilihan raya atau isu integriti penyokong akan menjauh. Sekali kepercayaan rakyat hilang, sukar untuk dipulihkan.
“Ada parti yang hanya bergantung pada tokoh tertentu. Tapi bila tokoh itu hilang sokongan, parti pun ikut senyap.
“Hari ini rakyat menilai keseluruhan bukan sekadar slogan. Parti perlu ada asas kukuh, perjuangan jelas, dan pemimpin yang diyakini. Masa akan tentukan siapa benar-benar berjuang, dan siapa hanya kejar kuasa,” ujar beliau di Facebook pada Khamis.
Jelas beliau lagi, parti politik adalah tempat orang berkumpul dengan cita-cita mahu membawa perubahan sama ada untuk jadi kerajaan, bawa suara rakyat, atau perjuangkan dasar tertentu.
“Tapi tidak semua parti mampu bertahan lama. Ada yang tenggelam selepas satu dua pilihan raya.
“Salah satu sebab ialah tiada sokongan akar umbi. Parti yang kuat perlu jentera yang bekerja, bukan hanya pemimpin di atas.
“Ada juga parti yang tidak jelas hala tuju. Mereka ulang slogan seperti “parti kerajaan” atau “parti pembangunan”, tapi bila ditanya apa perjuangan sebenar jawapannya kabur,” ulas beliau.
Kata Salleh lagi, di Sabah ada parti yang gah seketika, tapi akhirnya gagal kerana tiada perbezaan ketara dengan parti lain.
“Rakyat hari ini mahu lebih daripada janji pembangunan.
“Mereka menilai kestabilan, kepimpinan yang diyakini, kebajikan, perpaduan, dan dasar yang dekat dengan kehidupan mereka,” kata Bendahari Umno Sabah itu lagi.