Silap besar KJ kembali kepada Umno, boleh saja sertai PN – Pas Selangor

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Selangor Yusfarizal Yussoff mendakwa keputusan Khairy Jamaluddin menyertai semula Umno dianggap sebagai satu kesilapan besar.

Menurut Yusfarizal, hal ini kerana tiada alasan yang munasabah dan ada platform lain yang lebih baik.

“KJ menyertai semula Umno. Katanya untuk berkhidmat dengan Rumah Besar (Datuk Seri) Zahid Hamidi. Zahid juga dikatakan berbesar hati menerima KJ.

“KJ dilihat sebagai seorang pemimpin yang berkaliber, dan ada masa depan. Namun masa depannya agak kelam setelah dipecat dari Umno pada 2023.

“Beliau tahu, kalau dia hanya berdiam diri, kerjaya politiknya akan terus mati. Maka, untuk meneruskan popularitinya, beliau melakukan aktiviti-aktiviti popular seperti menjadi DJ, dan melancarkan audio siar beliau sendiri, Keluar Sekejap (KS). Strategi beliau berjaya kerana namanya tetap diingati walaupun tanpa parti politik, dan pandangannya masih relevan dan jadi rujukan. Kalau KS yang siarkan, tentu “power”.

“Namun, keputusannya menyertai semula Umno, bagi saya, satu kesilapan besar. Kerana pertama, tiada alasan yang munasabah, dan keduanya, ada platform lain yang lebih baik,” ujar Yusfarizal dalam hantaran di Facebooknya bertajuk “KJ- Reformis Umno?”

Kata beliau lagi, mungkin ramai yang ingat bila KJ dipecat, namun mungkin ramai terlupa, sebab apa beliau dipecat dan sebabnya adalah tuduhan usaha sabotaj yang dilakukan oleh KJ terhadap Umno, dan kenyataan KJ yang menyatakan Umno sudah sesat, dan dia akan perbetulkannya.

“Untuk rekod, Presiden Umno ketika KJ dipecat ialah Zahid. Hari ini, Presiden Umno tetap sama. Presiden yang sama jugalah yang dituduh dengan 47 pertuduhan rasuah, namun dilepaskan selepas prima facie.

“Umno hari ini yang kita lihat tidak banyak bezanya dengan 3 tahun lepas. Umno hari ini masih tunduk kepada PH dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Adala sekali-sekali Dr Akmal membentak.

“KJ dipecat oleh Umno itu. Hari ini Umno itu juga yang menerimanya semula. Kenapa KJ melihat Umno 2023 dan Umno hari ini berbeza sehingga sanggup masuk semula, dia saja yang tahu.

“KJ ada pilihan lain. Beliau boleh sahaja sertai PN, sebagaimana Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Annuar Musa. Tentu PN akan membuka tangan seluas-luasnya untuk menerimanya. Tapi KJ melihat dengan berbeza.

“Sama ada KJ berjaya menjadi “reformis” Umno, tiada siapa yang tahu ketika ini. Yang pastinya, Umno hari ini bukanlah lebih kuat daripada sebelumnya, bahkan mungkin lebih lemah.

“Apa gula-gulanya? Hanya KJ dapat menjawabnya. Dan yang hampir pasti, pilihan raya mungkin sudah tidak lama,” kata Yusfarizal lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat