Brazil kekal pasaran penting bagi PETRONAS

KUALA LUMPUR – PETRONAS Petróleo Brasil Ltda (PPBL), anak syarikat PETRONAS memeterai satu perjanjian untuk memindahkan 50 peratus kepentingan penyertaan dalam dua blok konsesi, BM-C-36 dan Modul Espadarte kepada syarikat minyak nasional Brazil, Petrobras, yang memutuskan untuk melaksanakan hak keutamaannya atau ‘pre-emptive right’.

Selepas pemindahan itu dimuktamadkan, Petrobras akan kembali semula dengan pegangan 100 peratus kepentingan penyertaan dan kekal sebagai pengendali.

Menurut PETRONAS, perjanjian itu adalah sebahagian daripada semakan portfolio berterusan syarikat minyak dan gas nasional itu serta pendekatan berdisiplin dalam menjana nilai daripada peluang pertumbuhan antarabangsa.

Katanya, urus niaga itu masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

“Brazil kekal sebagai pasaran penting bagi PETRONAS, di mana syarikat telah membangunkan kehadiran bersepadu merangkumi keseluruhan rantaian nilai tenaga.

“Operasi meliputi segmen huluan, termasuk beberapa blok pengeluaran dan penerokaan serta kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO), selain segmen hiliran dengan kira-kira 100 stesen minyak berjenama yang kini beroperasi di negara itu,” katanya dalam satu kenyataan, menurut BH pada Selasa.

Ia berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media antarabangsa bahawa syarikat milik kerajaan Brazil, Petrobras telah memutuskan untuk melaksanakan haknya bagi membeli pegangan 50 peratus PETRONAS dalam dua medan luar pesisir di Brazil dengan nilai AS$450 juta.

Mengulas lanjut perniagaannya di Brazil, PETRONAS berkata, pihaknya juga mengendalikan hab pelincir dan bahan kimia khusus di Brazil yang membekalkan lebih 20 negara di seluruh Amerika Latin dan Caribbean.

Selain itu, PETRONAS akan terus menilai peluang strategik di Brazil dan peringkat global, sambil kekal komited untuk mencipta nilai jangka panjang.

Petrobras sebelum itu dilaporkan berkata ia ia memutuskan untuk melaksanakan haknya bagi membeli pegangan 50 peratus milik PETRONAS dalam dua medan luar pesisir di Brazil dengan nilai AS$450 juta.

Susulan perjanjian itu, Petrobras akan memiliki 100 peratus medan Tartaruga Verde dan Modul III medan Espadarte, yang kedua-duanya terletak di Lembangan Campos di Brazil, dengan pengeluaran purata gabungan sebanyak 55,000 tong sehari.

Pengambilalihan itu akan membolehkan Petrobras menghubungkan telaga lain di medan Tartaruga Verde kepada aset baharunya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat