KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor sudah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Ia berkaitan memberi keterangan berkaitan isu siasatan membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima Bersatu.
Menurut laporan sebuah portal berita hari ini, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri memberi keterangannya kepada agensi pencegahan rasuah itu di Putrajaya.
Bagaimanapun maklumat berkaitan tempoh keterangan diberi oleh Muhyiddin tidak diperincikan.
SPRM kelmarin memaklumkan akan memanggil Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berhubung siasatan ke atas kewangan parti itu.
Bersatu sebelum ini dilaporkan menerima hingga RM300 juta daripada kontraktor sebagai dana politik susulan persetujuan dibuat dengan beberapa pemimpin parti, termasuk mereka yang berkhidmat di bawah pentadbiran Muhyiddin ketika itu.
Difahamkan lebih 15 individu termasuk pemimpin Bersatu dan pihak kontraktor sudah dipanggil SPRM untuk dirakamkan kenyataan.
Sebelum itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata SPRM sudah membekukan beberapa akaun milik parti itu, baru-baru ini.
Pada 1 Februari lalu, Azam mengesahkan SPRM sudah membekukan akaun Bersatu sebagai membantu siasatan ke atas wang disyaki hasil haram.
Azam berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.