Henti Persoal Belanjawan 2021, Bantu Pulih Ekonomi – Pakar Ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Semua pihak, sama ada pemimpin masyarakat mahupun rakyat, perlu berhenti mempersoalkan isu berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) yang diluluskan hari ini, dan berganding bahu membantu memulihkan ekonomi negara, kata seorang pakar ekonomi.

Pensyarah kanan Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kerajaan kini perlu memberikan tumpuan kepada pelaksanaan segala perancangan Belanjawan 2021 selain memulihkan sentimen pelabur dan menarik balik pelaburan asing ke Malaysia.

“Rakyat (pula) perlu bantu negara dalam pemulihan ekonomi dengan menukar cara kerja lama dan tingkatkan produktiviti,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 Lulus: Politik Matang Demi Rakyat dan Negara, terbitan Bernama TV malam ini.

Seorang lagi tetamu program berkenaan, pensyarah kanan Jabatan Pengajian, Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan di Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Norazlan Hadi Yaakob berkata Belanjawan 2021 yang diluluskan itu menunjukkan impak positif apabila pasaran saham dilihat terus mencatat peningkatan.

“Tidak kiralah Belanjawan 2021 diluluskan dengan kelebihan hanya tiga undi kerana satu undi tetap dikira menang dalam sistem demokrasi,” katanya.

Belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) diluluskan di Dewan Rakyat hari ini apabila Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) tersebut memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen.

Rang undang-undang itu diluluskan melalui undi belah bahagian selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat