Tiada broker, sogokan dan ugutan untuk sokong PM – MP Jeli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Jeli, Zahari Kechik menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau diugut dan disogok pihak tertentu untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wakil rakyat Bersatu itu juga menegaskan, tidak wujud broker politik dan sebagainya seperti didakwa, sebaliknya apa yang dilakukan demi rakyat dan penduduk Jeli.

“Apa yang saya lakukan keputusan saya sendiri tanpa diugut atau disogok mana-mana pihak. Sejak kenyataan saya menyokong Perdana Menteri, banyak tuduhan mengaitkan saya dengan ugutan dan sogokan demi kepentingan sendiri.

“Apa yang saya lakukan hanya kerana mahu melihat dan memberi perkhidmatan terbaik untuk penduduk di Jeli. Saya tidak mahu rakyat di sini menderita kerana tidak dapat peruntukan. Saya letak kepentingan rakyat melebihi segala-galanya

“Saya sanggup terima kecaman asalkan pengundi saya terbela,” katanya pada sidang media, di Jeli lapor BH sambil meminta kenyataan berunsur fitnah terhadapnya dihentikan atau beliau akan mengambil tindakan sewajarnya.

Zahari memaklumkan, beliau sudah meminta peguamnya meneliti bahan disiarkan di media sosial yang mengandungi pelbagai tuduhan terhadapnya.

Mengenai tindakan Bersatu, katanya, beliau sehingga kini tidak menerima sebarang surat daripada Lembaga Disiplin parti, namun reda dan bersedia menerima apa sahaja tindakan.

Zahari mengisytiharkan menyokong kepimpinan Anwar pada 8 November lalu selepas pendirian sama diambil Ahli Parlimen PN Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, juga daripada Bersatu.

Semalam, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa mempunyai bukti bergambar, video dan komunikasi WhatsApp berkait peranan individu dikenali sebagai ‘Datuk Botak’ yang dikatakan cuba memujuk serta menawarkan ‘habuan’ tertentu kepada Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Perdana Menteri.

Malah, Ahli Parlimen Machang itu mendakwa, semua bukti berkenaan disahkan sendiri oleh Ahli Parlimen yang disasarkan individu terbabit, selain ia sudah dikemukakan kepada polis.

Justeru, beliau menyanggah kenyataan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang sebelumnya menafikan sekeras-kerasnya wujud paksaan, ugutan dan sogokan ke atas empat Ahli Parlimen Bersatu untuk menyokong Perdana Menteri.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat