“ Bukan saya beriya-iya nak jadi Perdana Menteri “- Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bukan dirinya yang beriya-iya ingin menjadi Perdana Menteri sebaliknya, ia adalah sesuatu yang telah dipersetujui oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

“Ini bukan soal Anwar nak jadi PM, tidak. Saya dicalonkan oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang majoriti 92 sekarang,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Malaysia Gazette.

Biarpun sering kali diajukan persoalan mengapa beliau beriya-iya untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar tetap merujuk perkara itu sebagai perkembangan yang telah diputuskan terlebih awal lagi.

Jelas Anwar, perkara itu telah diputuskan sebelum PH memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), dua tahun lalu.

“PRU 2018 itu diketengahkan saya calon PM, transisi PM sementara (Tun Dr) Mahathir kepada Anwar Ibrahim dan kita menang PRU14.

“Jadi itu yang harus diketahui bukan perkara itu berkembang dua minggu lalu atau bulan lalu seperti yang didakwa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Presiden PKR itu turut diajukan soalan mengenai keyakinan beliau untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bulan lalu.

Anwar beralasan beliau melahirkan keyakinan untuk berdepan dengan Al-Sultan disebabkan sokongan yang ditunjukkan oleh Ahli-Ahli Parlimen daripada parti-parti tertentu.

“Saya menghadap Agong setelah yakin dengan jumlah kerusi dan dokongan Ahli Parlimen dari parti-parti yang telibat.

“Itu kenyataannya dan proses ini berjalan dan tidak mungkin dan munasabah untuk saya gunakan ruang sehingga menghadap Agong dalam keadaan saya tidak yakin dengan jumlah itu.

“Tapi dengan ehsan dan kebijaksaan Agong menangguhkan untuk memastikan beberapa pertimbangan jadi saya hormat,” ujar Anwar.

Justeru, ditanya sama ada beliau masih berkeyakinan dengan apa yang dipersembahkan beliau kepada Agong, Anwar berkata hanya masa yang boleh menentukannya.

“Insya-Allah akan dapat diluruskan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Anwar pada 13 Oktober lalu menghadap dan mengesahkan beliau ada mempersembahkan dokumen sahih berhubung sokongan kukuh dan meyakinkan Ahli Parlimen terhadapnya.

Beliau turut mendakwa mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen bagi membolehkan beliau menubuhkan semula kerajaan PH.

Dalam wawancara itu juga, Anwar memberitahu beliau telah memainkan peranan mempertahankan Dr Mahathir dalam pemilihan UMNO 1987.

“Saya ada peranan untuk pertahankan dia ( Dr Mahathir).

“Semua orang tahu pada 1987 kalau saya tidak sungguh-sungguh dukung dia, mungkin terguling juga dia masa itu.

“Dia akan kalah dengan Tengku Razaleigh tapi itu masing-masing tanggungjawab dan menyatakan keyakinan kita,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk kepada pemilihan UMNO 33 tahun lalu yang menyaksikan saingan sengit antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden.

Ketua Pembangkang itu juga menyanggah pandangan Dr Mahathir bahawa beliau (Anwar) tidak mempunyai apa-apa semasa diangkat ke dalam kerajaan.

Katanya, ketika itu beliau sudah menjadi ahli jawatankuasa pertubuhan belia dunia dan juga mempunyai kedudukan dalam Angkatan Belia Islam di dalam dan luar negara selain ada peranan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Jadi ada peranan saya di peringkat dunia sudah dikenali, dan diambil saya ucap terima kasih dan memang benar dia bagi ruang. Tapi kalau kata tidak ada apa-apa dari debu dia angkat, kalau begitu tak apalah.

“Itu kenyataan politik,” katanya.

Dr Mahathir kelmarin berkata, Anwar tidak berupaya menguruskan negara malah kepimpinannya pernah diuji ketika Presiden PKR itu memangku jawatan perdana menteri pada 1997 di mana Anwar hampir menjerumuskan negara dalam kancah hutang termasuk dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, sebagai manusia biasa beliau mengakui pernah berasa sakit hati, tersinggung dan tercuit melalui pelbagai pengalaman termasuk dipenjarakan semasa pemerintahan Dr Mahathir.

Namun demi kepentingan negara, beliau menerima ‘kedatangan’ Dr Mahathir pada dua tahun lepas dan melupakan apa yang telah terjadi.

“Tapi kalau asyik ulang-ulang konspirasi dan khianat itu tidak boleh. Saya sekarang, tak apa biar dan teruskan ikut jalan saya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat