Dari Mimbar Dakwah ke Pentas Arena, Sebuah Perjalanan Rohani Dalam Irama
Ketika dunia hiburan sering bergelut antara glamor dan nilai, satu kumpulan yang lahir pada tahun 2000 kekal teguh dengan misi dakwahnya. Namanya Inteam, empat jejaka yang menjadikan nasyid bukan sekadar alunan harmoni, tetapi bahasa hati yang menyatukan cinta terhadap Ilahi. Kini, selepas dua dekad menyemai kasih dan nur di hati pendengar, Inteam bersedia melakar sejarah baharu menerusi konsert mega “25 Tahun Inteam Nur Kasih” yang dijadual berlangsung pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil.
Namun, konsert ini bukan sekadar pentas hiburan. Ia adalah perjalanan rohani yang dipentaskan, tanda syukur dan penghargaan buat peminat yang setia meniti setiap bait dakwah mereka terutama selepas kejayaan manis Konsert Nur Kasih Bersatu pada 28 September 2025, yang menyaksikan kehadiran ribuan peminat memenuhi dewan dimana tiket jualan telah sold out.
Kejayaan konsert pada 28 September lalu bukan hanya ukuran populariti, tetapi bukti bahawa muzik rohani masih bernafas megah di bumi seni. Persembahan penuh spiritual itu menjadi inspirasi kepada pihak ICON Entertainment untuk menganjurkan konsert yang lebih besar dan berimpak tinggi, kali ini dalam skala arena yang mampu menampung lebih ramai penonton.
“Konsert 28 September membuktikan bahawa nasyid masih hidup dan punya tempat di hati rakyat Malaysia. Ia menjadi pemangkin untuk kami membawa Inteam ke pentas lebih besar Axiata Arena,” ujar Iman Tang, pengasas ICON Entertainment, dengan penuh semangat.
Dalam lanskap muzik tempatan yang kini dikuasai pelbagai genre moden, nama Inteam tetap segar malah semakin relevan. Lagu-lagu seperti Nur Kasih, Dia, Kerana Cinta dan Kasih Kekasih menjadi siulan lintas generasi. Bagi sebahagian besar pendengar, karya mereka bukan sekadar lagu; ia adalah doa yang dinyanyikan dengan melodi, dan nasihat yang disampaikan dengan kasih.
Iman menyifatkan penganjuran kali ini sebagai penanda aras baharu bagi konsert berunsur Islamik bukan sekadar dari segi teknikal dan produksi, tetapi juga dari nilai dan jiwa yang ingin disampaikan.
Lebih menarik, penganjur tidak mahu konsert ini hanya menjadi tontonan satu hala. Sebaliknya, ia dirangka sebagai perayaan kasih dua hala antara artis dan peminat.
Melalui cabutan bertuah yang belum pernah dilakukan dalam konsert nasyid sebelum ini, enam pembeli tiket bakal menerima pakej umrah bernilai RM8,999 setiap seorang, tajaan Jay Ibrahim Al Islam Travel & Tour Sdn. Bhd.. Perjalanan suci ke Tanah Haram itu dijadualkan pada 19 hingga 30 Ogos 2026, merangkumi 5 malam di Makkah dan 5 malam di Madinah, dengan penginapan eksklusif di Swissotel Makkah dan Hayah Golden Madinah.

“Ini bukan sekadar ganjaran material, tetapi hadiah berbentuk ibadah. Ia cara kami menyantuni peminat yang selama ini menjadi tulang belakang perjuangan kami,” kata Iman.
Selain itu, dua unit skuter Modenas Elit 150s dan telefon pintar terkini turut disediakan sebagai hadiah kedua dan ketiga, sementara 10 baucar istimewa bernilai RM5,000 sumbangan Jay Ibrahim Al Islam bakal diberikan kepada peminat bertuah.
Dalam sejarah muzik tanah air, jarang sekali kumpulan nasyid mampu menembusi arena sebesar Axiata Arena Bukit Jalil. Namun, Inteam membuktikan bahawa muzik rohani bukan genre kecil, malah mampu menarik ribuan hati yang dahagakan keindahan Islam melalui seni.
Setiap persembahan mereka sarat dengan nilai adab, kasih, dan keinsafan. Tiada gimik atau sensasi murahan. Sebaliknya, Inteam tampil dengan ketenangan yang menular, membawa mesej damai kepada seluruh penonton. Inilah kekuatan yang menjadikan mereka relevan selama 25 tahun.
Konsert “25 Tahun Inteam Nur Kasih” menawarkan lapan kategori tiket yang diberi nama berdasarkan lagu-lagu popular mereka seolah-olah setiap pembelian tiket adalah satu langkah menuju kenangan dan keinsafan.
Harga Tiket:
Tiket boleh dibeli bermula 24 Oktober 2025 jam 11 pagi di platform rasmi Ticket2u.com.my/InteamNurKasih.
Dari persembahan kecil di dewan sekolah hingga ke pentas megah Axiata Arena, perjalanan Inteam mencerminkan bahawa dakwah tidak pernah berhenti berkembang. Ia berevolusi tetapi tidak pernah kehilangan arah.
“25 Tahun Inteam Nur Kasih” bukan sekadar nostalgia, tetapi manifestasi perjuangan seni yang berpaksikan keikhlasan. Ia adalah bukti bahawa dalam dunia hiburan yang sering berubah, masih ada ruang untuk seni yang mendidik jiwa dan menenangkan hati.
Maklumat Konsert
- Artis: Inteam
- Acara: 25 Tahun Inteam Nur Kasih
- Tarikh: 1 Februari 2026 (Ahad)
- Lokasi: Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur
- Masa: 8.20 malam
- Penganjur: ICON Entertainment
- Platform Tiket: https://www.ticket2u.com.my/InteamNurKasih
- Tiket mula dijual: 24 Oktober 2025, jam 11 pagi
“Bagi kami, 25 tahun ini bukan sekadar angka ia adalah perjalanan nur yang ingin kami kongsi dengan semua.”



