Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Pementasan teater semi muzikal kanak-kanak ‘Pulau Kucing’ di Auditorium Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) Kedah dekat sini, pada 11 dan 12 Oktober lalu berjaya memukau lebih 700 penonton dan meninggalkan pengalaman manis buat peminat seni pentas itu.
Keserasian yang ditampilkan oleh barisan pelakonnya berjaya memastikan teater ini dipentaskan, lantas menghibur dengan elemen seperti muzik dan nyanyian yang dibawa.
Pulau Kucing sarat dengan pelbagai mesej, selain disulam dengan babak menyentuh dan mencuit hati itu wajar diberi penarafan lima bintang.
Sinopsisnya, kisah seorang profesor dan pembantunya telah datang ke Pulau Kucing untuk membuat kajian tentang habitat, tabiat dan karektor kucing. Penghuninya kecoh apabila Tam Junior dan Adek Putih hilang . Awang Belang dan rakan-rakan berusaha menjejaki mereka namun tetapi tidak ditemui.
Teater ‘Pulau Kucing’ anjuran Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) dengan kerjasama JKKN Kedah telah dirasmikan oleh Pengarahnya, Sabarina Masadi.
Turut hadir, Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Mohd Azam Omar, dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra, Zaiton Hashim.
Mengulas lebih lanjut tentang persembahan ‘Pulau Kucing ’, pengarah dan penulis skripnya, Mohd Zulkamal Ismail atau lebih mesra dikenali sebagai Joe K.A.S, berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati, teater ini selesai dipertontonkan serta berjalan dengan lancar sepertimana yang telah dirancangkan.
Menurut Joe K.A.S, pementasan teater sudah kembali meriah dan mendapat sambutan setelah pasca covid berlalu.
Menurutnya, hanya dalam tempoh empat bulan sahaja, pelakon teater ini berlatih dan menyediakan pementasan selama sejam setengah itu, namun komitmen dari pelakon cukup tinggi.
Alhamdulillah, kami bersyukur dan sangat teruja, segala cabaran dapat diselesaikan dengan kerjasama dalam pasukan produksi yang terbaik.
Menurutnya lagi, seramai 14 orang pelakon dalam lingkungan umur 9 hingga 23 tahun telah terlibat menjayakan pementasan ini, kebanyakannya merupakan pelapis baharu yang dicungkil menerusi siri-siri bengkel asas teater anjuran PENTAS.
“Tiket yang dijual untuk pementasan dua malam habis terjual dalam tempoh empat hari sahaja dan tiket tambahan pada slot sebelah petang pun habis terjual dalam masa yang singkat sahaja.
“Walaupun masih ada lagi permintaan tetapi pihak pengurusan tidak dapat menerima tempahan lagi disebabkan auditorium tidak dapat menampung lebihan penonton, ”katanya kepada Wartawan SUARA.TV.
“Sepanjang pementasan berlangsung mendapat sambutan yang baik dari peminat seni teater di utara tanah air, ini merupakan pencapaian terhebat dalam sejarah pementasan teater di Kedah.
“Sambutan di luar dugaan dan luar biasa dari penonton pelbagai lapisan umur terutamanya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari Perak, Pulau Pinang dan Perlis telah melimpahi auditorium sepanjang pementasan ini berlangsung,”katanya lagi.
“Walaupun kurang mendapat sokongan dana, namun tidak mematah semangatnya untuk berkarya.
“Pementasan ini telah membuktikan walaupun tanpa dana yang besar, saya berjaya mementaskannya dengan meriah penuh warna warni.
“Kami berjimat cermat dalam perbelanjaan produksi dengan mengunakan bahan-bahan terbuang yang boleh digunakan semula untuk dijadikan set, props dan kostum,” ujarnya.
“Pihak persatuan akan merancang pementasan teater saban tahun demi menyemarak dunia teater di samping memberi pendedahan kepada pelapis baharu mempamerkan bakat mereka.
“Pementasan teater kanak-kanak Pulau kucing boleh dijadiakan teater keliling jika ada penajaan, ia satu langkah yang penting untuk bidang seni teater kembali bersinar.
“Aktiviti pementasan teater kanak-kanak begini telah menarik minat semua lapisan umur dari kanak-kanak, remaja dan dewasa.
“Semoga matlamat menjadikan seni teater sebagai jati diri bangsa dapat direaliasikan, ”ujarnya lagi.
Terdapat juga beberapa pelakon yang tidak mempunyai pengalaman dari lakonan dan kali pertama, dapat membuat persembahan dengan dengan begitu baik.
Namun, tidak dinafikan, Muhammad Mifdhal yang menggalas watak utama , umpama berada dalam kelas tersendiri apabila mampu melontarkan dialog dengan baik dan menghidupkan watak kucing Awang Belang.
“Momen yang agak mencabar semasa latihan adalah harus fokus kepada watak yang diberikan untuk menghayati karaktor kucing yang sebenar, ”katanya.
Bagi pelajar Tingkatan 3 SMK Sultanah Bahiyah, Nur Iklima Hawa yang membawa watak Profesor Kucing berkata, penglibatannya telah membolehkannya meraih lebih pengalaman sebagai seorang pelakon teater.
“Sewaktu awal latihan, saya perlu mencari beberapa slanga dalam menghidupkan wataknnya dalam teater ini,”katanya.
Sementalah itu, ramai peminat seni teater yang memberikan komen positif setelah menonton teater ini.
Pelajar dan guru SMK Jitra turut memberikan sokongan telah memberikan lima bintang kepada persembahan teater ini.
“Persembahan teater ini dibarisi dengan pelakon cilik, comel dan berbakat besar, pemilihan latar lagu yang segar dan ceria, mesej ringan tapi terselit pengajaran membuat penonton sangat terhibur.
“Kami juga tidak sabar untuk menonton persembahan teater karya Joe K.A.S akan datang,” kata mereka.
“Tahniah, ianya satu persembahan yang sangat terpuji, diharap agar Joe K.A.S terus berkarya, ”kata Pengetua SMK Jitra, Zaiton Hashim
“Jalan ceritanya sangat menarik, simple dan ada input output yang sangat bermanfaat.
“Selain itu, persediaan pentasnya yang cantik, keunikan kostum setiap watak, dapat berinteraksi dengan penonton, dan pembukaannya diiringi dengan lagu yang begitu menarik, ”ulas pelajar Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) Pulau Pinang. – SUARA.TV



