Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertegas tidak akan mengubah penetapan terhadap pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu.
Akta 852 ini bukan semata-mata bersifat punitif, sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada golongan perokok untuk berhenti merokok.
Persekitaran yang bebas tanpa amalan merokok amatlah penting dalam mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata demikian pada majlis Pelancaran Cik Era ChatBot melalui Laman Sesawang JomQuit yang berlangsung di Prince Court Medical Centre (PCMC), dekat sini pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Norhayati Rusli; Regional Chief Executive Officer (Central) , IHH Health Care Malaysia, Ms. Erica Lam; Chief Executive Officer PCMC, Dr. Shuba Srinivasan; Medical Director PCMC, Dr. Kuljit Singh; Managing Director of National Cancer Society Malaysia (NCS), Associate Professor Dr. Muralitharan Munisamy; Timbalan Presiden Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Datuk Hj. Omar Osman, dan Pengurus Besar Kenvue Malaysia, Stephen Tiu.
Dr. Dzulkefly berkata, 1,000 buah Klinik Berhenti Merokok telah ditempatkan di seluruh negara bagi membantu perokok dan pengguna vape yang ingin menghentikan tabiat merokok.
Menerusi kenyataan KKM, pelancaran Cik Era ChatBot melalui Laman Sesawang JomQuit merupakan hasil kerjasama badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta, dalam memastikan masalah merokok dapat dibendung.
Menerusi laman sesawang ini akan dipromosikan melalui paparan di tanda amaran larangan merokok yang baharu dan di semua paket dan karton pembungkusan produk merokok.
Menurutnya, pendekatan `Whole of Society Approach’ ini menunjukkan keseriusan dan komitmen kerajaan Madani dalam membantu golongan perokok dan pengguna vape untuk berhenti merokok.
“Selain itu, inisiatif sukarelawan oleh Rakan Nasihat Komuniti PEMADAM yang memberikan khidmat nasihat secara dalam talian,”katanya.
“Cik Era Chatbot yang dilancarkan ini akan memberikan khidmat nasihat kepada pada perokok dan pengguna vape yang ingin berhenti merokok setiap hari selama 24 jam, sebelum disalurkan kepada pengendali perkhidmatan berhenti merokok yang terlatih.
“Penghargaan diberikan kepada
semua rakan kongsi yang telah terlibat dalam menjayakan perkhidmatan berhenti merokok mQuit ini dari awal pelaksanaannya hingga sekarang.
“Selain itu, kepada pihak PCMC kerana telah bersetuju untuk menjadi salah satu penyedia perkhidmatan berhenti merokok di fasiliti mereka,”katanya lagi.
“Dengan perancangan yang teliti, sokongan berterusan dan usaha bersepadu daripada semua pemegang taruh mampu merealisasikan agenda ini pada masa hadapan.
“KKM menyeru agar semua pihak memberikan sokongan terhadap usaha kerajaan bagi memastikan kesihatan rakyat terpelihara, selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas tanpa sebarang bentuk amalan merokok menjelang 2040, ”ujarnya.-SUARA.TV