Kerajaan, agensi penguat kuasa digesa lebih agresif banteras eksploitasi manusia, beri peluang mangsa GISB hidup semula – MP Jelebu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan terutamanya agensi penguatkuasaan disaran untuk bertindak lebih agresif membanteras aktiviti eksploitasi manusia yang sudah sekian lama bertapak di negara ini.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap dengan terbongkarnya sindiket Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISB) maka kerajaan harus mencari solusi dan kaedah berkesan bagi mengekang jenayah seumpama ini berulang lagi pada masa akan datang.

“Enough is enough, berapa banyak tadika di negara kita tidak didaftarkan di bawah sistem pendidikan sebenar, berapa banyak tadika kita yang masih mengamalkan pendoktrinan pemikiran kepada murid seawal 4-5 tahun dan kenapa Kementerian Pendidikan (KPM) masih lagi tidak mengambil tindakan kepada tadika—tadika ini?

“Jangan dah terhantuk baru tengadah, ambil tindakan segera. Saya cadangkan kita bagi sepenuhnya kepercayaan dan keyakinan kepada pihak penguatkuasaan supaya tindakan undang-undang mesti dikenakan kepada mereka yang melanggar, mengeksploitasi manusia sejak dulu lagi.

“Lihat bagaimana soal akidah ini harus diperbetulkan, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) baharu kita bagi penuh kepercayaan supaya lebih agresif, lebih bertindak di luar bidang tugas biasa untuk lihat bagaimanakah penyelesaian jangka pendek dan panjang boleh kita laksanakan bagi memperbetul segala bentuk pemesongan akidah.

“Begitu juga dengan agensi bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mesti tengok balik wanita khususnya kanak -kanak dan wanita bila ulul am (imam) ketua masyarakat Islam bila buat satu perkara yang melanggar moral kadang-kadang dijadikan contoh, penganiayaan kepada kanak-kanak melibatkan jenayah seksual berleluasa tanpa mengira kaum,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Jalaluddin menegaskan sekali gus menyeru, kementerian-kementerian terlibat harus melakukan sesuatu yang luar biasa supaya perkara ini tidak berlarutan dan tidak menjadi perbahasan oleh Parlimen Jelebu pada masa depan.

Beliau malah mengemukakan saran kepada kerajaan untuk membentuk semula kehidupan mangsa-mangsa GISB melalui dasar dan pendekatan kerajaan sedia ada.

“Kita ada pelbagai pedekatan, dasar TVET negara yang boleh dijadikan satu lagi opsyen untuk mangsa GISB dan masyarakat sebagai pilihan untuk pendidikan anak-anak.

“Bahkan kita juga ada program huffaz yang telah diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan sistem pendidikan awal kanak-kanak.

“Kalau dari segi ekonomi kalau kata GISB ekonomi yang berjaya, kita juga ada pilihan agenda Bumiputera, kesemua ini saya cadangkan kepada kerajaan dan pada masa sama beri peluang kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas dan penguatkuasaan mereka,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat