KUALA LUMPUR – Malaysia menyalurkan RM110 juta kepada Palestin untuk tabung kemanusiaan dan perubatan dengan pecahan RM100 juta disumbangkan Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) manakala RM10 juta daripada Tabung Kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah memberi mandat penuh kepada Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir untuk berbincang dan mengambil keputusan apa saja yang mungkin untuk menyegerakan bantuan kemanusiaan dan apa jua tindakan yang disepakati negara jiran supaya dapat dilaksanakan tindakan lebih berkesan.
“Saya juga telah memberi pengakuan kepada ketua-ketua negara telah mengundang kita untuk bersama seandainya perlu bahawa Malaysia akan bersama-sama dengan rakan-rakan kita, jiran-jiran dan negara Arab, juga negara-negara lain yang lebih menunjukkan simpati mereka, kefahaman mereka termasuk Rusia dan China.
“Bila ditanya kita setuju dengan tindakan bagi mana-mana pihakuntuk mencederakan wanita dan kanak-kanak, pendirian kita jelas tanpa mengira siapa. Kita tidak bersetuju dengan apa-apa langkah yang mengenai orang-orang yang tidak berdosa,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Tetapi dalam hal ini, kata Anwar, jika tidak ada tindakan tegas ia akan jadi satu genocide war.
“Kalau di Asia Tenggara kita faham, dengan killing feels, apa yang akan berlaku di Gaza dalam beberapa hari ini kalau dunia tidak berupaya, ialah dunia mengizinkan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Gaza dan Palestin.
“Saya ingin hanya menyatakan bahawa sudah sampai ketikanya kerajaan Malaysia dengan hubungan yang diberikan akan bersama
dengan rakan-rakan untuk melakukan apa saja yang perlu.
“Saya harap Tan Sri Yang di-Pertua faham apa yang kita maksudkan dalam perbincangan kita ini dengan wakil-wakil negara tu nampak keresahan itu sudah meluap dan sudah nampak ada jalan buntu terutama kerana Israel diberi dukungan penuh oleh Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.
Susulan itu Anwar menyatakan, kerajaan telah memperuntukan dana bantuan sebanyak RM10 juta.
“Saya sekali lagi menyeru usaha ini disambut oleh semua pihak, pihak korporat dan syarikat-syarikat.
“Saya akan menghoskan majlis di Sri Perdana pada 19 Oktober untuk menerima kutipan-kutipan derma tersebut.
“Semalam, Menteri Luar telah menghubungi rakan-rakan sejawatan beliau (Indonesia, Brunei Saudi, UAE, Turkiye, Egypt EU,
dan lain-lain) bagi terus menyuarakan pandangan Malaysia manakala Zambry juga menyatakan kesediaan Malaysia
untuk berganding bahu dengan negara-negara sehaluan ‘like-minded countries’ bagi menggerakkan bantuan manusiaan kepada rakyat Gaza,” katanya.
Menurut Anwar antara perancangan segera ialah sebanyak RM10 juta diberi kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
“Manakala RM 1 juta disalur ke Kedutaan Malaysia di Amman dan Kaherah, sewaan pesawat kargo khas dari Malaysia bagi menghantar bantuan-bantuan kemanusiaan perlu kepada rakyat Gaza melalui Mesir.
“Ia akan turut dibantu oleh NGO-NGO Malaysia dalam langkah solidariti bagi membantu rakyat Palestin di Gaza,” katanya.