KUALA LUMPUR, – Polemik antara pemimpin Perikatan Nasional (PN) semakin terserlah apabila Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, membidas kenyataan sinis Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang dipercayai menyindir BERSATU dengan ungkapan “nak jadi ketua tapi duit tak ada, jentera pun tak ada.”
Dalam ulasan balas yang dimuat naik di media sosial, Tun Faisal mengingatkan bahawa kepimpinan dalam Islam tidak boleh diukur hanya pada kekuatan kewangan dan jentera politik.
Katanya, kuasa dan harta sering kali menjadi punca penyakit hati, malah boleh menjerumuskan seseorang pemimpin kepada nasib yang menimpa Qarun dan Firaun.
“Pemimpin dan orang berharta sering terdedah kepada takabbur, ujub, lalai, kufur nikmat dan mungkir janji. Inilah penyakit hati yang membawa kepada keruntuhan umat. Qarun binasa kerana ujub dengan harta, Firaun binasa kerana angkuh dengan kuasa. Harta dan bala tentera mereka tidak mampu menyelamatkan mereka daripada azab Allah,” katanya.
Tun Faisal memetik pandangan ulama besar, Imam al-Ghazali, bahawa cinta dunia adalah punca utama segala kerosakan hati dan keruntuhan umat. Menurutnya, pemimpin yang tidak sedar hakikat bahawa kuasa dan harta hanyalah pinjaman Allah akan mudah terperangkap dengan sifat sombong, merasa diri lebih daripada orang lain, serta lupa daratan.
“Takabbur menjadikan pemimpin lupa asal usul, ujub menjadikan mereka kagum dengan diri sendiri tanpa menyandarkan kepada Allah, ghaflah membuat mereka lalai daripada tanggungjawab, kufur nikmat menyebabkan mereka lupa jasa rakyat dan sahabat perjuangan, manakala mungkir janji meruntuhkan amanah. Semua sifat ini akhirnya menghancurkan kepimpinan dan melemahkan umat,” katanya.
Beliau menegaskan, peringatan Islam jelas Nabi SAW menyebut bahawa “tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada seberat zarah sifat sombong,” manakala al-Qur’an menegaskan bahawa janji mesti ditunaikan dan nikmat mesti disyukuri.
Kenyataan Tun Faisal ini dilihat sebagai sindiran balas yang halus tetapi tajam terhadap Sanusi, dengan menekankan bahawa kuasa politik tidak semestinya bergantung pada wang ringgit atau kekuatan logistik semata-mata. Sebaliknya, ia adalah soal amanah, akhlak dan kesedaran bahawa segala yang dimiliki hanyalah pinjaman Allah.
Beliau turut memberi peringatan bahawa pemimpin yang terlalu bergantung kepada kekayaan atau kedudukan untuk mengekalkan pengaruh politik akhirnya akan hilang sokongan kerana gagal menunaikan janji dan mengabaikan rakyat.
“Pemimpin Muslim yang sedar kuasa dan harta hanyalah pinjaman Allah akan menunaikan tanggungjawab dengan adil. Sebaliknya, mereka yang hanyut dengan penyakit hati akan menerima nasib seperti Qarun dan Firaun mulia di dunia seketika, tetapi hina di sisi Allah,” tegasnya.
Pemerhati politik melihat kenyataan ini sebagai gambaran ketegangan dalaman dalam PN, khususnya antara PAS dan BERSATU, apabila kedua-dua parti semakin agresif menonjolkan siapa lebih layak menerajui kepimpinan blok pembangkang menjelang PRU16.- Suara.TV



