KUALA LUMPUR – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baru dilantik.
Pada sesi menghadap yang berlangsung 30 minit tadi, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima surat peletakkan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa hari ini 16 Ogos 2021.
Ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baru untuk mempengerusikan Kabinet.
Pun begitu, Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan rakyat.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara pada Isnin berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah menganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik COVID-19.
Dalam pada itu katanya, Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Kabinet atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi COVID-19.
“Selaku Ketua Umum Negara, Seri Paduka Baginda memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat Muhyiddin berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang,” katanya.
Selain itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh, pada sesi sembah maklum hari ini telah memaklumkan kepada Seri Paduka Baginda bahawa sehingga 10 Ogos 2021, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak 484 kawasan yakni 79 peratus adalah zon merah COVID-19 dan juga Baginda mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada tahap membimbangkan.