MINDEF akan denda syarikat lambat bekal dua helikopter Black Hawk – Adly

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengesahkan akan mengenakan denda terhadap Syarikat Aerotree Defence & Services Sdn Bhd (ADSSB) atas kegagalan membekalkan dua helikopter Black Hawk UH-60A mengikut waktu ditetapkan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, langkah itu akan diambil meskipun tuntutan lanjutan masa diberikan kepada syarikat terbabit.

Adly pada masa sama mengesahkan pihak ADSSB ada menghantar permohonan tuntutan lanjutan masa kedua kepada pihak kementerian.

“Memang syarikat ini ada memohon tuntutan lanjutan masa kali kedua, tetapi kita dalam proses penilaian… justifikasi kita memberikan tuntutan lanjutan masa berdasarkan penilaian teknikal dan alasan diberikan pihak syarikat itu sendiri.

“Dalam konteks ini, denda lewat sudah pasti akan kita kenakan kepada syarikat walaupun tuntutan lanjutan masa kali kedua diberikan.

“Ini kerana kita mengambil kira faktor masa sekiranya kita tahu kesan daripada tender semula itu akan memberikan kesan jangka masa panjang yang lebih sukar terutamanya bagi pasukan udara tentera darat (PUTD),” katanya semasa sesi bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, lapor Harian Metro pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang menyatakan satu kerugian jika tentera darat mahu membatalkan atau menggantikan helikopter Black Hawk UH-60A itu dengan pesawat lain.

Dalam pada itu, Adly menjelaskan, ADSSB dipertanggungjawab untuk menghantar dua helikopter pada 30 Oktober 2023 dan dua lagi pada 30 Disember tahun sama.

Bagaimanapun katanya, syarikat memaklumkan kepada pihak kementerian bahawa terdapat beberapa kekangan dalam membuat penghantaran helikopter itu.

“Antara justifikasi diberikan adalah pertama, peperangan berlarutan di Ukraine menyebabkan gangguan rantaian bekalan.

“Dan (satu lagi) proses kelulusan pihak pengawal selia Amerika Syarikat telah diperketatkan bagi pemodenan spesifikasi teknikal serta integrasi sistem avionik ke atas pesawat Black Hawk UH-60A,” katanya.

Adly berkata, Kementerian Pertahanan amat memandang serius mengenai kelewatan itu.

“Ini kerana kita tahu di mana ia memberikan impak terhadap pengoperasian helikopter PUTD sebagaimana yang digariskan oleh kontrak,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat