PETALING JAYA – Pentas konsert Joe Flizzow – This Is Johan Live In Concert gamat dengan sorakan peminat hip hop tanah air yang telah sekian lama menahan rindu menyaksikan persembahan fenomena daripada Too Phat.
Meski raga Joe Flizzow dan Malique terpisah namun roh Too Phat tetap dirasai peminat-peminat hip hop yang membesar dengan dendangan rap kumpulan itu.

This Is Johan dibuka dengan lagu Iller-Iller diiringi kemerduan orkestra begitu memukau ribuan penonton yang memenuhi JioSpace, Petaling Jaya.
Tenaga dan stamina The President of Hip Hop Malaysia, Joe Flizzow atau nama asalnya Johan Ishak menyanyikan 36 lagu ternyata tidak mengecewakan peminat-peminatnya.

Paling menghangatkan konsert itu apabila Joe Flizzow menyanyikan lebih 10 lagu yang pernah dipopularkan Too Phat suatu ketika dahulu.
Antara lagu Too Phat yang menjadi halwa telinga anak-anak yang membesar era 80an-90an yang dinyanyikan semula oleh Joe ialah Just A Friend, Jezzabel, Anak Ayam, Ala Canggung, Just A Lil Bit, Alhamdulillah dan Dua Dunia.

Lagu dan rap lirik yang funky itu sangat menghiburkan dan mengimbau kenangan zaman persekolahan peminat-peminatnya.
Artis-artis kolaborasi juga hadir berduet bersama The President antaranya Sona One, Ila Damia, Azlan The Typewritter, Adeep, Zamaera, Alyph dan MK K-Klique.

Joe juga memperkenalkan lagu baru yang diciptanya iaitu Berlian.
Ini adalah konsert solo pertama Joe selepas 15 tahun bergerak secara solo.



