CYBERJAYA – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Salleh menegaskan bahawa tiada sesiapa pun boleh mengatasi undang-undang, termasuk individu berstatus kerabat diraja, susulan insiden seorang lelaki warga Cina yang didakwa ditikam oleh seorang kerabat di sebuah kelab di Kuantan.
Dalam satu kenyataan tegas yang dimuat naik ke laman Facebook rasminya, Dr. Akmal menyeru agar Peguam Negara segera mendakwa individu terbabit dan memastikan keadilan ditegakkan tanpa mengira pangkat, kaum atau kedudukan.
“Tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang tidak kira siapa kamu! Kami desak keadilan untuk rakyat di bawah ini, tidak kira warna kulit mahupun agama,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Tengku Mahkota Pahang (TMP) yang sebelum ini menyatakan bahawa tiada sesiapa pun kebal daripada tindakan undang-undang.
Dr. Akmal turut membidas sikap pembangkang yang menurutnya tidak bersuara dalam isu ini.
“Benda yang kau tak boleh tunggang, kau tak nak buat lah,” katanya, merujuk kepada pembangkang yang menurutnya tidak memberikan sebarang respon terhadap insiden berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa Pemuda UMNO akan terus menuntut keadilan bagi mangsa serangan tersebut meskipun pelakunya seorang kerabat.
“Keadilan mesti dituntut… No one is above the law,” tegasnya.
Kenyataan itu hadir bersama gesaan agar pihak berkuasa bertindak segera dan tidak membiarkan keadilan terlewat atau diketepikan hanya kerana status individu terbabit.