KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan Notis Rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan Muhammed Yusoff Rawther tersebut hari ini.
“Jabatan ini merujuk kepada keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Jun 2025 yang telah melepaskan dan membebaskan tertuduh Muhammed Yusoff Rawther tanpa dipanggil untuk membela diri di akhir kes pendakwaan bagi pertuduhan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234 dan seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 [Akta 206].
“Setelah mempertimbangkan keputusan Yang Arif Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut, Jabatan ini telah memfailkan Notis Rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut pada hari ini.
“Seksyen 39B(2) Akta 234 memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan sekiranya tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 sebatan manakala seksyen 36(1) Akta 206 memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM 5,000 atau kedua-duanya,” menurut kenyataan media AGC yang disiarkan pada Isnin.
Pada 12 Jun baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.
Dalam penghakiman ringkasnya, Muhammad Jamil berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan Muhammed Yusoff, 32, mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pistol dan dadah berkenaan.