KUALA LUMPUR – Kerajaan Pusat dijangka akan menyalurkan dana sebanyak RM1.7 bilion kepada Kerajaan Kelantan untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang sudah sekian lama berlarutan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah memohon peruntukan RM8 bilion daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pun begitu katanya, permohonan peruntukan RM8 bilion itu perlu diperhalusi dan Kerajaan Persekutuan bersetuju sebanyak RM1.7 bilion diberikan pada peringkat awal.
Mohd Amar menyatakan, hasil daripada pertemuan dengan Perdana Menteri juga, satu jawatankuasa khas ditubuhkan melibat Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dan Kerajaan Negeri Kelantan.
“Hasil daripada pertemuan dengan Perdana Menteri, satu jawatankuasa khas ditubuhkan daripada MoF dan kerajaan negeri Kelantan dan Alhamdulillah, dua hari lepas jawatankuasa ini sudah bermesyuarat.
“Setakat ini kelulusan awalnya kalau saya boleh maklum, awal RM1.7 bilion Insyaallah akan diterima. Kita minta RM8 billion itu Perdana Menteri kata perlu diperhalusi,” jelas beliau lapor Astro Awani di Kelantan.
Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan, permohonan RM8 bilion oleh Kelantan bagi menyelesaikan isu air di negeri itu ditolak kerana kerajaan Persekutuan perlu meneliti secara tepat keperluannya.
Bahkan, kata Anwar, terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum perbelanjaan itu dibenarkan.
Menurut Anwar, masalah air perlu mempunyai langkah awal dan kerajaan sedia memperuntukan dana untuk projek jangka sederhana dan panjang itu.



